RELEVENKAH HUKUMAN
ROTAN BAGI MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR PADA MASA KINI ?
Malaysia kini sedang mengecapi arus pemodenan.
Pembangunan yang dikecapi bukan hanya dalam sektor ekonomi, malah sektor
pendidikan juga sering mengalami perubahan penamabahbaikan selaras dengan arus
pembangunan negara. Sistem pendidikan sering berubah dan berlaku penambahbaikan
bertujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan
insan yang seimbang bukan hanya dari segi intelek tetapi jasmani, emosi, rohani
dan sosial. Ini bermakna, sektor pendidikan di Malaysia memainkan peranan
penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Jika kita lihat ketika
ini, sektor pendidikan mampu meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar. Namun
begitu, tanpa kita sedar nilai moral di kalangan generasi muda ketika ini
semakin rendah. Tahap disiplin pelajar pada masa kini semakin membimbangkan. Banyak
kes-kes berkaitan disiplin pelajar seringkali diperkatakan di dada akhbar.
Adakah disebabkan kurang penguasaan
disiplin pelajar? Apakah tindakan yang diambil oleh pihak sekolah bagi mengatasi
masalah ini? Justeru itu, penulisan ini akan menjelaskan tentang perkara yang
sering menjadi isu di kalangan ibu bapa dan masyarakat iaitu isu rotan.
Persoalannya, mampukah hukuman rotan memperbaiki disiplin pelajar di sekolah?
Apakah inisiatif lain yang wajar dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini. Isu ini masih lagi
diperkatakan di kalangan masyarakat. Terdapat segelintir ibu bapa dan masyarakat
mempertikaikan tindakan ini. Mengapa pertikain ini berlaku? Segalanya akan
dibicarakan di ruangan ini.
Generasi kini berbeza dengan generasi kita
sebelum ini. Perbezaannya sudah jelas kita lihat di mana semakin banyak berlaku
keruntuhan moral di kalangan pelajar sekolah. Misalnya, kes pelajar samseng,
kes pukul guru, budaya lepak, hubungan seks bebas, pergaulan bebas, terlibat
dengan sendiket pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah. Kes-kes seperti ini
semakin banyak dilaporkan. Apakah tindakan yang dilakukan oleh pihak sekolah
untuk mengatasi masalah ini. Semua pihak harus memandang serius masalah ini
kerana ianya semakin menular di kalangan pelajar sekolah. Pihak sekolah harus
lebih tegas dalam menangani isu ini. Tindakan merotan pelajar sering
dipertikaikan oleh segelintir ibu bapa dan masyarakat. Berbeza dengan
masyarakat pada zaman dahulu. Masyarakat dahulu lebih bersifat terbuka yang
mana mereka boleh menerima hukuman rotan sebagai tindakan untuk mendidik anak
mereka. Kesannya, generasi pada masa itu lebih memiliki nilai moral yang tinggi
berbanding generasi pada masa kini. Penerimaan ibu bapa kini terhadap tindakan
rotan berbeza, ada segelintir mereka menyifatkan hukuman rotan sebagai suatu
tindakan kejam ke atas pelajar sekolah. Adakah hukuman rotan mampu mendidik
generasi muda pada masa kini? Generasi
pada masa kini banyak terdedah dengan perkembangan teknologi. Mentaliti mereka
telah dikuasai oleh budaya yang dibawa oleh arus perkembangan teknologi yang
tidak mampu dikawal lagi. Keperluan pembangunan teknologi ini penting sebagai
jentera penggerak pembangunan negara. Namun begitu, akibat tiada kawalan yang
menyeluruh, kesannya adalah kepada generasi muda pada masa kini yang lebih
bersifat berdaya saing dalam arus pemodenan teknologi.
Oleh yang demikian, peranan guru pada masa
kini kian mencabar dalam memenuhi harapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dalam semua aspek. Guru bukan
hanya bertanggungjawab mendidik anak-anak bangsa, tetapi yang lebih penting
adalah mendidik modal insan yang berkualiti dari semua aspek iaitu jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh
kerajaan bagi meningkatkan kualiti kecemerlangan pelajar. Akan tetapi, masalah
disiplin juga semakin berada pada tahap yang membimbangkan semua pihak.
Penulisan ini akan memfokuskan tentang isu tindakan
rotan yang sering menjadi buah bicara masyarakat kita pada masa kini. Sebelum
mengupas lebih lanjut tentang isu ini, terlebih dahulu kita perlu tahu apa itu ‘hukuman
berat’? Menurut Mohd Rashid Mohd Saad (2006), ia dapat didefinisikan sebagai
sesuatu hukuman yang menyebabkan kesan ke atas tubuh badan seseorang. Sebagai
contoh, di rumah apabila ibu ataupun ayah menangani anak ataupun dengan
menggunakan rotan ke atas tubuh badan mereka dan di dalam institusi penjara
pula, seorang penjenayah yang melakukan jenayah berat seperti membunuh dan
sebagainya. Walaupun kedua-dua contoh di atas menimbulkan kesan tragis ke atas
orang yang dihukum, namun ia dibolehkan. Ini kerana, jika sesuatu hukuman itu
didasari oleh keadilan, maka ia tidak menjadi isu yang hendak diperdebatkan.
Namun, bagaimana pula jika merotan dijalankan
mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di
institusi sekolah ? Ramai yang tidak setuju dengan tindakan ini. Oleh itu,
bagaimana kita boleh membentuk modal insan yang memiliki nilai moral yang tinggi
selain daripada hukuman ini. Tujuan merotan yang menimbulkan kesan yang tidak
memcacatkan anggota tubuh pelajar difokuskan dalam penulisan ini. Daripada segi
logiknya, perbuatan merotan yang tidak menimbulkan kesan kecacatan fizikal
selalu menjadi isu di kebanyakkan sekolah di Malaysia mahupun di seluruh dunia.
Mengapa isu ini menjadi satu perbalahan besar antara pihak yang menyokong dan
pihak yang menentang?
Merotan ; jika dibenarkan oleh KPM dilakukan
secara adil ke atas seseorang murid yang melanggar peraturan yang ditetapkan
oleh sekolah, dikenakan hukuman sedemikian atas dasar setelah nasihat, amaran
dan denda yang dikenakan masih tidak mengubah tingkah laku negatif murid
tersebut. Selain itu, merotan dilakukan oleh orang yang dipertanggungjawabkan
oleh pihak sekolah, tidak menimbulkan kecacatan fizikal, dengan penuh rasa
menjaga kepentingan menjaga keseimbangan sistem sekolah demi keselamatan murid
lain dan juga dilakukan oleh guru bukan mengikut emosi atau perasaan membalas
dendam adalah dibolehkan.
Adakah dengan menghapuskan hukuman merotan di
sekolah-sekolah di negara-negara maju ada menunjukkan penurunan kes-kes
disiplin di sekolah? Kajian-kajian yang dijalankan di negara maju walaupun
dapat membuktikan yang penderaan kanak-kanak adalah berleluasa tetapi mereka
tidak dapat membuktikan yang merotan dengan teknik yang betul dan tidak
mencacatkan anggota badan pelajar dapat memberi tekanan mental dan fizikal ke
atas pelajar-pelajar sekolah. Di samping itu, tidak ada satu pun kajian yang menunjukkan,
merotan dengan teknik yang betul dan dengan tujuan mendisiplinkan pelajar
adalah tidak berkesan. Kebanyakkan kajian yang dijalankan oleh ahli psikologi
tidak menggunakan kaedah penyelidikan yang betul. Ini menyebabkan kita dapat
menolak dapatan kajian yang dilihat sebagai berat sebelah dengan tujuan
membuktikan pendapat mereka dan bukan dapatan kajian mereka. Banyak kajian yang
dilakukan cenderung hendak membuktikan kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan
oleh ibu bapa yang tidak bertangungjawab dan bukannya penggunaan rotan oleh
guru selepas nasihat, amaran dan denda yang digunakan tidak mengubah tingkah
laku pelajar.
Terdapat beberapa pemikir barat memberi
pandangan tentang hukuman rotan ini. Antaranya, Friedman dan Schonberg (1994),
mentakifkan perbuatan memukul sebagai tujuan mendisiplinkan anak-anak bagi
membentuk sahsiah diri yang sempurna. Ini termasuklah kesempurnaan moral dan
etika. Memukul anak mereka dengan tujuan hendak mengubah perangai mereka
menjadi baik berlainan daripada penderaan kanak-kanak bagi tujuan
mendisiplinkan mereka.
Manakala, Larzelere (2001) mengatakan dalam
keadaan tertentu, menggunakan hukuman berat seperti merotan membuatkan anak itu
lebih berdisiplin berbanding anak-anak yang tidak dikenakan hukuman dan hanya
menggunakan nasihat, amaran ataupun denda. Jika hukuman berat ini kerap dan
tidak memalukan pelajar, ia adalah hukuman paling baik bagi mendisiplinkan
anak-anak.
Oleh yang demikian, dapat disimpulkan di sini
bahawa, merotan sebenarnya tidak terlalu teruk dan tidak mencederakan anggota
pelajar walaupun kanak-kanak akan berasa
pedih dan sakit. Ia Cuma bertujuan bagi menyatakan hukuman yang diberikan
adalah kerana kesalahan yang sudah beberapa kali dinasihati dan diberi amaran.
Hukuman ini perlu dijalankan selepas merancang dengan teliti teknik-teknik
terbaik supaya tidak mencederakan pelajar dan bukan kerana marah atau dendam.
Biasanya guru perlu merasionalkan kenapa pelajar dirotan dan menyatakan
kebaikan supaya pelajar terus menjaga disiplin. Walau bagaimanapun, hukuman
tersebut hendaklah dijalankan di tempat tersembunyi seperti di dalam bilik
pengetua dan elakkan di tempat terbuka. Guru juga harus ada belas kasihan pada
pelajar dan tidak mencederakan pelajar dengan kesan luka. Jika hukuman rotan
masih tidak berkesan, pelajar tersebut dinasihatkan dihantar ke pakar-pakar
psikiatri atau kaunseling untuk memperbaiki tingkahlakunya.
Berdasarkan pendapat tersebut, jelaslah di
sini bahawa hukuman rotan ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin
dengan cara yang betul adalah satu tindakan yang wajar. Semua pihak harus
membuka minda terhadap hukuman ini dan menerimanya sebagai membentuk diri
pelajar ke arah yang baik dengan berkesan. Ini kerana, pelajar sekarang semakin
berani mencuba sesuatu yang boleh merosakan diri mereka seolah-olah pihak
sekolah tiada hukuman yang tegas dalam
pengawalan disiplin pelajar. Diharap, melalui tindakan ini akan dapat membantu
membentuk jiwa dan diri pelajar dengan berkesan. Walau bagaimanapun semua
pendidik tidak harus mengambil kesempatan ini dengan memberi hukuman rotan
sesuka hati tanpa alasan yang sewajarnya. Misalnya, guru harus mematuhi etika
memberi hukuman rotan kepada murid. Guru perlu diberi pelbagai kursus berkaitan
hal ini bagi membolehkan guru mengawal emosi dan memberi hukuman tersebut
dengan cara yang betul supaya hukuman yang dikenakan tidak menyebabkan kecacatan
kepada pelajar.
Turut dikongsikan di sini, bentuk-bentuk
hukuman yang di larang berdasarkan maklumat Unit Disiplin KPM iaitu :
Hukuman terhadap fizikal
|
Hukuman terhadap mental
dan emosi
|
· Berdiri lama di tengah panas
· Lari keliling padang
· Berdiri lama dalam/luar bilik
darjah
· Memukul diri sendiri/sesama
sendiri
· Berdiri di atas kerusi / meja
· Menarik rambut / tarik telinga
· Belasah dengan alat seperti
tali pinggang atau
pembaris.
· Junjung kerusi atau buku
· Cubit
·
Enjut/ketuk ketampi
· Ketuk/ sekel kepala
|
·
Gunting
rambut
·
Berdiri
membuat latihan
·
Berleter
·
Gantung tulisan
dibadan
·
Memalukan
di khalayak ramai
·
Kelas tahanan
pada waktu rehat
·
Memaki hamun
·
Conteng muka
dengan kapur
·
Koyak buku
latihan
·
Mengugut
atau menggertak murid
·
Tidak menanda
buku latihan
·
Tidak menghiraukan
murid
|

Gambar 1.0 : Cara pelaksanaan hukuman
rotan dengan betul
- Seorang saksi turunkan tandatangan serta rekodkan bilangan pukulan
- Kedudukan murid : kedua-dua tangan memegang meja dan badan membongkok
- Hayunan rotan paras bahu, rotan di punggung yang berlapik atau tapak tangan.
- Ukuran rotan lebih kurang 1 meter panjang dan bergaris pusat diameter 0.5sm serta bahagian hujung tidak pecah.
- Hanya
Pengetua/Guru Besar atau guru yang diberi kuasa secara bertulis boleh merotan.
Rotan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk pendidikan dan bukan penderaan.
Ang Jit Eng, Ph.D. Pengurusan Disiplin Murid. Kuala Lumpur : PTS Professional, 2007Larzelere, R.E. dan Smith, G.L. Controlled Longitudinal Effects of Five Disciplinary Tactics on Antisocial Behavior. Washington : The American Psychological Association, 2000Mohd Rashid Mohd Saad. Mengapa Rotan Tidak Berkesan? Kuala Lumpur : PTS Professional, 2006
No comments:
Post a Comment