Monday 27 August 2012

Bahasa Melayu.....Apa sudah jadi ???...

Menurut Robiah Sidin (1998), Pendidikan merupakan interaksi antara individu dengan individu lain atau interaksi antara individu dengan kumpulan-kumpulan sosial tertentu. Tujuan interaksi ialah untuk perkembangan individu dan seterusnya perkembangan masyarakat dan negara. Berdasarkan konteks tersebut, perdidikan diertikan sebagai satu proses, ‘sosialisasi’ atau pemasyarakatan dan istilah sosiologi. Melalui proses ini, pendidikan yang diberikan sama ada secara terancang mahupun tidak, yang diatur secara formal mahupun informal, diharap dapat membentuk perkembangan keseluruhan individu dan kumpulan individu.
           Secara umumnya, perkembangan tersebut merangkumi perkembangan kognitif (mental), afektif (sikap) dan kebolehan atau kemahiran fizikal dan sosial. Merujuk kepada pendidikan di Malaysia, didapati bahawa keperluan sosialisasi dan pembentukan personaliti individu dan kumpulan sosial ada dinyatakan dengan jelas sekali dalam Falsafah Pendidikan Negara. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1996). Mengikut Noriati A. Rashid (2012) penggubalan falsafah ini adalah berdasarkan Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979, Rukun Negara, Prinsip-prinsip dan matlamat pendidikan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan. Berikut adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan : 
        Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih Memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
            Apabila berbicara tentang pendidikan sebagai satu proses pembentukan diri manusia, kita tidak boleh lari daripada membicarakan matlamat dan objektif pendidikan. Segala tindakan mendidik dilakukan berdasarkan objektif dan matlamat yang ditetapkan oleh pemerintah negara, pembuat dasar pendidikan dengan mengambil kira nilai-nilai dan warisan budaya yang dianggap bernilai dan relevan. Objektif dan matlamat juga bergantung kepada arah tuju dan visi pembangunan yang dihajati untuk masyarakat pada masa hadapan. Misalnya kenyataan dalam Wawasan 2020, dijadikan panduan untuk membentuk objektif perkembangan dan pembangunan dalam banyak sektor termasuklah sektor pendidikan.
           Selain daripada pendidikan bertujuan untuk mensosialisasikan atau membudayakan individu, pendidikan juga adalah satu alat yang penting untuk membangunkan negara. Ini kerana, apabila kerajaan melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mendirikan sekolah, melatih guru-guru dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran, maka ia sebenarnya secara langsung menjalankan proses pembangunan negara dalam sektor pendidikan.
           Apabila membicarakan tentang pendidikan untuk membangunkan negara, maka selain daripada mementingkan matlamat dan objektif pendidikan, beberapa persoalan perlu diberi perhatian. Misalnya, adakah sistem pendidikan yang sering mengalami perubahan ini berkesan dan berjaya mengeluarkan hasil atau output sepertimana yang dirancangkan? Khususnya, adakah apa yang dibelanjakan sebagai pelaburan terhadap pendidikan dapat mencapai objektif dan matlamat? Selain itu, adakah perancangan pendidikan iaitu usaha untuk mengatur objektif, kurikulum dan corak penilaian sesuatu sistem pendidikan mengikut objektif-objektif pembangunan negara? Apakah corak dan jenis pendidikan yang dilaksanakan berkesan dalam mencapai objektif dan matlamat pendidikan yang telah ditetapkan oleh pemerintah negara dan pembuat dasar pendidikan?
           Oleh yang demikian, terdapat beberapa isu yang ingin dibicarakan dalam penulisan ilmiah ini. Sistem pendidikan negara kita kini sering mengalami pembaharuan sama ada dari segi perubahan kurikulum dan juga dasar pendidikan itu sendiri. Di sini, isu utama yang ingin dikupas secara ilmiah adalah isu yang sedang hangat diperkatakan di dalam media sama ada media massa mahupun elektronik iaitu sistem kurikulum sekolah. Seolah-olah sistem yang diubah ini menjadikan pelajar sebagai bahan ujian untuk mencapai matlamat dan objektif pembuat dasar pendidikan. Terdapat dua isu utama yang ingin dibicarakan di sini adalah berkaitan isu bahasa dan juga isu kurikulum sekolah. Penulisan ini akan membincangan tentang perlaksanaan dasar tersebut dan implikasinya kepada pendidikan di Malaysia serta tindakan kerajaan bagi mengatasi implikasi tersebut bagi memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tercapai.
           Sepertimana yang kita sedia maklum, penggubalan dasar bahasa penyampaian ilmu di sekolah telah berlaku perubahan yang telah menjadi isu di kalangan pemimpin dan penerimaan masyarakat iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah bermula pada tahun 2003. Objektif dasar ini adalah bagi mengatasi masalah penguasaan yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris. Dasar ini telah mendapat tentangan daripada pejuang bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Dasar ini juga telah menghalang perjuangan isi kandungan utama yang terkandung dalam Penyata Razak 1956 iaitu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Kini, pemimpin negara telah mengambil langkah bagi mengatasi implikasinya terhadap pencapaian pendidikan negara iaitu dengan melaksanakan dasar baharu iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris’. Dasar ini bertujuan untuk memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan. Oleh itu, dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah dimansuhkan secara berperingkat sehingga tahun 2014.
          Selain daripada itu, dasar kurikulum sekolah yang telah membawa pembaharuan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran subjek di sekolah iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Hal ini juga sering mendapat perhatian di kalangan pemimpin dan juga masyarakat. Pembaharuan ini juga sering diperkatakan di ruang akhbar dan berita televisyen mahupun radio. Objektif perubahan kurikulum ini bertujuan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Oleh sebab itu, sistem kurikulum sekolah diberi pembaharuan dengan melaksanakan dasar KSSR yang bertujuan memperkembangkan  potensi individu bukan hanya dalam akademik tetapi menyeluruh dari segi potensi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Oleh yang demikian, isu ini ingin dikupas secara ilmiah tentang keberkesanan dan implikasi pelaksanaannya di dalam sistem pendidikan di Malaysia.
 
PEMANSUHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS  (PPSMI) DAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SERTA MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS
           Isu Bahasa Melayu kini sedang hangat diperkatakan. Terdapat beberapa golongan yang telah berpandangan bahawa bahasa Melayu melambatkan kemajuan dalam era pensegatan. Di samping itu juga, ada juga menyatakan bahawa sistem pendidikan kebangsaan turut dipersalahkan kerana dikatakan melahirkan manusia kaku berhadapan dengan dunia sejagat. Kita perlu sedar dan ingat kembali sejarah Melayu pada ketika dahulu, yang mana Surat perhubungan antarabangsa berkaitan dengan perdagangan dan diplomatik daripada pembesar Eropah kepada raja-jara kepulauan Melayu ditulis dalam Bahasa Melayu malah dengan tulisan jawi. Malangnya kini ada yang mencadangkan supaya beberapa mata pelajaran diajarkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya, PPSMI merupakan satu dasar yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tujuan utama dasar ini dibuat adalah bagi mengatasi masalah penguasaan yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris. Dasar ini telah mendapat tentangan daripada kalangan pejuang dan pencinta Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Pengenalan dasar PPSMI dilihat dari sudut psikologi secara tidak langsung telah merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
           Mereka yang memperjuangkan bahasa Inggeris atas nama kepentingan kemajuan sains, teknologi dan pensejagatan. Seharusnya, usaha mencari jalan penyelesaian dan pendekatan yang sesuai dengan hasrat memperteguh bahasa Melayu agar terus berwibawa sebagai bahasa ilmu dan bukannya dengan mengenepikan peranannya dan digantikan dengan bahasa Inggeris.
            Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh sekolah rendah dan menengah bermula tahun 2003. Sememangnya semua pihak harus memainkan peranan untuk cuba menyelesaikan masalah, tetapi bukanlah masalah yang dicari sendiri akibat kesilapan memberi ubat yang tidak kena dengan penyakitnya. Sesungguhnya usaha memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik tidak seharusnya membunuh peranan bahasa Melayu, sekali gus menyekat dan membantutkan kemajuannya dalam bidang sains dan teknologi. Seharusnya kita ingat tentang kandungan Penyata Raza 1956, semenjak bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan sehingga pada peringkat universiti pada tahun 1983 iaitu memakan masa kira-kira 27 tahun, secara beransur-ansur mengambil langkah dengan berhati-hati untuk kebangsaankan sistem pendidikan negara.
             Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani (2007), Peralihan daripada bahasa pengantar Inggeris kepada bahasa pengantar Melayu dilakukan secara beransur-ansur. Bermula pada tahun 1973 semua mata pelajaran Sastera di sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) Inggeris diajarkan dalam bahasa Melayu. Dua tahun kemudian pada tahun 1975, kelas peralihan bahasa Inggeris dimansuhkan dan sekolah rendah jenis kebangsaan Inggeris ditukarkan menjadi sekolah rendah kebangsaan. Setahun kemudian, semua mata pelajaran Sastera, Sains dan Teknik diajarkan dalam bahasa Melayu di Tingkatan Satu sekolah menengah jenis kebangsaan Inggeris. Begitu juga mata pelajaran Sastera bagi Tingkatan Empat. Dua tahun kemudian, pada tahun 1978 peperiksaan LCE dimansuhkan dan digantikan dengan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan jurusan sastera dalam bahasa Melayu bagi tingkatan Enam bawah di SMJK Inggeris diadakan. Dua tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1980 peperiksaan MCE dimansuhkan dan digantikan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada tahun yang sama semua kursus sastera dan bersekutu dengannya di universiti bagi tahun satu dikuliahkan dalam bahasa Melayu. Setahun kemudian pada tahun 1981, semua jurusan sastera, sains, dan teknik diajarkan dalam bahasa Melayu.
            Manakala pada tahun 1982, lengkaplah sudah sekolah menengah jenis kebangsaan (Inggeris) menjadi sekolah menengah kebangsaan dan setahun kemudian, pada tahun 1983 semua kursus tahun satu universiti dalam bidang sastera, sains, kejuruteraan, perubatan dan lain-lain dikuliahkan dalam bahasa Melayu, selepas hampir 10 tahun perancangannya sejak tahun 1973. Perancangan ini belum dikira sejak tahun 1956 iaitu semasa Penyata Razak digubal. Begitulah jerih-perihnya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wadah bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi mengambil masa yang begitu lama dan beransur-ansur. Maka, daripada lebih lima juta pelajar tersebut, lahirlah profesor dan pakar sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain menerajui bidang kepakaran masing-masing di universiti mahupun di dalam organisasi masing-masing.
           Tetapi pada tahun 2003 dasar baru mula diperkenalkan iaitu dasar PPSMI. Dasar ini telah merendahkan martabat bahasa kebangsaan dan kepentingannya dalam bidang ilmu. Dasar ini diperkenalkan seolah-olah tidak menghargai usaha dan perjuangan tokoh-tokoh, pejuang dan pencinta bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sejarah pelaksanaan PPSMI ini bermula pada tahun 2002 iaitu pada bulan Julai mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu adalah perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah meluluskan dasar baru iaitu PPSMI. Setahun selepas itu, dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah manakala Tingkatan 1 untuk sekolah menengah.
            Seterusnya, pada tahun 2007 pelaksanaan penuh PPSMI dilakukan bagi peringkat sekolah menengah. Manakala, pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah dilakukan pada tahun 2008. Pada tahun 2009 lebih 8,000 penentang PPSMI telah menyertai demonstrasi bagi membantah pelaksanaan PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Demonstrasi tersebut telah dipimpin oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr. Hassan Ahmad. Pada Mei 2009 kesemua lima sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini telah mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut. Pada Jun 2009 pula, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran ‘jangan jadikan pelajar bahan ujian’. Manakala, pada Julai 2009 Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.
           Masyarakat Malaysia boleh mengambil pelbagai langkah untuk cekap berbahasa Inggeris, tetapi bukanlah dengan mengorbankan dan merendahkan martabat bahasa kebangsaan kita dengan mengkhianati peranan, usaha, dan keupayaan bahasa Melayu selama ini. Kenyataan ini sengaja diperkatakan bagi membuka minda semua pihak supaya merenung usaha selama ini yang meraih keprihatinan semua pihak. Seperti cerita rakyat yang menjadi teladan dalam kehidupan, lebih malanglah daripada Pak Kaduk, sudahlah kalah sorak, kampung pula tergadai.’ Oleh itu, semua pihak harus sedar bahawa pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya dan bahasa ilmu.
          Masalah pengangguran yang semakin meningkat ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Penguasaan bahasa Inggeris yang lemah bukanlah sebab utama ramai siswazah menganggur. Banyak faktor lain yang memerlukan kajian dan fakta yang jelas. Misalnya, masalah dominasi syarikat tertentu, syarat khusus pekerjaan yang mempunyai kelainan daripada kebiasaan, kegawatan ekonomi, penutupan dan perpindahan industri tertentu ke negara lain dan sebagainya. Penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar Melayu sendiri berada pada tahap penguasaan yang lemah, misalnya dalam keputusan PMR dan SPM. Tetapi perkara yang sama tidak pun hangat dibicarakan. Oleh itu, kita harus bimbang jika yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran. Justeru itu, jika penguasaan bahasa Inggeris yang lemah maka kita tidak seharusnya menyingkirkan bahasa Melayu daripada mata pelajaran sains dan matematik.
            Negara kita boleh mencontohi budaya bahasa di negara maju yang lain. Misalnya negara Jepun, terdapat program khas bahasa Jepun yang diikuti oleh pelajar Melayu termasuk bukan Melayu di Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya, bagi tempoh satu hingga dua tahun sahaja. Dalam masa yang singkat, mereka mampu menguasai bahasa Jepun dan mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Jepun dan secara langsung membolehkan mereka mengikuti program ijazah di Jepun. Jelaslah ini menunjukkan bahawa penyelesaian bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan baik bukanlah dengan mewujudkan satu aliran khusus berbahasa Inggeris ataupun dasar PPSMI. Di samping itu, bagaimana pula dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam ilmu sains dan matematik yang diperjuangkan oleh para ilmuwan tempatan secara terancang bertahun-tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka? Penguasaan bahasa Inggeris yang bermasalah, maka bahasa Inggerislah yang harus diatasi seperti mengkaji kaedah pengajaran yang lebih efektif, metodologi, motivasi, sikap pelajar, minat pelajar dan sebagainya. Pihak kementerian harus memikirkan strategi yang lebih berkesan bagi menarik minat pelajar terhadap bahasa Inggeris serta meningkatkan penguasaan dan pencapaian bahasa Inggeris.
          Malaysia seharusnya mencontohi negara-negara lain yang masih teguh menjunjung dan menggunakan bahasa ibunda sekalipun mempelajari bahasa lain tetapi terus maju seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Belgium, Itali, Scandinavia, dan banyak lagi. Jika bangsa lain boleh maju dengan bahasa ibundanya sendiri mengapa pula Malaysia tidak boleh maju dengan bahasa ibundanya? Justeru itu, pada tahun 2012 ini, pemansuhan PPSMI dilakukan secara berperingkat-peringkat dan akan tamat pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, dasar baru telah diperkenalkan iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris’ (MBMMBI).
           Organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia telah memperakui iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik dalam penyampaian pembelajaran terutamanya pada peringkat awal persekolahan. Oleh itu, pihak kementerian telah menetiliti beberapa implikasi pelaksanaan dasar PPSMI kepada pendidikan negara yang telah membawa impak negatif menyebabkan pelajar semakin tidak berminat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Akhirnya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meluluskan cadangan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh KPM mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenalpasti beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal.
 
Implikasi kepada Pendidikan Di Malaysia    
            Jika dirujuk pencapaian salah satu mata pelajaran sains iaitu Kimia SPM tahun 1996 hingga 1998 (pengantar bahasa Melayu), hanya sejumlah 3.5% pelajar bumiputera mendapat A1 dan A2 pada tahun 1996, 3.8% pada tahun 1997, dan 4.2% pada tahun 1998. Peratus peningkatannya amat kecil. Bagaimana pula tahun-tahun yang akan datang, apabila semuanya diajar dalam bahasa Inggeris? Berdasarkan satu kajian, mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan 4% penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya telah mengurangkan minat pelajar untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik. Manakala kajian 53 pakar bahasa menunjukkan bahawa dasar PPSMI telah menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75% murid yang tergolong dalam  kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Oleh yang demikian, pengenalan dasar PPSMI sebenarnya menjadikan pencapaian pelajar dalam menguasai bidang Sains dan Matematik bertambah mundur.
           Kajian telah membuktikan perkara ini dan bukti ini telah menolak hujah sesetengah pihak yang mengatakan bahawa penggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek itu akan membuatkan seseorang pelajar bertambah cepat penguasaan ilmunya. Hal ini dapat dilihat di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMMS) yang telah mendedahkan bahawa skor purata pencapaian pelajar Malaysia menurun secara signifikan dalam bidang Sains dan Matematik pada tahun 2003 berbanding 2007. Skor subjek Matematik menurun 34 mata daripada 508 kepada 474, manakala skor subjek Sains menurun 40 mata daripada 510 kepada 471. Penurunan skor ini menunjukkan pelajar tidak berkemampuan memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajar menerusi bahasa asing.
            Selain daripada itu, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hassan Ahmad menyatakan bahawa PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuklah dalam bidang Sains dan Matematik. Sebaliknya, pada tahun 2003 dasar baru mula diperkenalkan iaitu dasar PPSMI.
            Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati telah menjarakkan lagi jurang pencapaian Sains dan Matematik antara pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakkan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria semasa proses pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik. Majoriti murid terutamanya di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50% murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian tersebut juga mendapati lebih 80% murid Melayu sukar memahami pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Justerus, PPSMI dilihat telah memberi implikasi yang negatif dalam pendidikan di Malaysia terutama bagi pelajar di luar bandar.
           Oleh itu, kerajaan memansuhkan PPSMI kerana dasar ini tidak dilaksanakan seperti yang dihasratkan. PPSMI tidak berjaya mencapai matlamat penubuhannya untuk meningkatkan pembangunan sumber manusia bagi mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing tetapi hanya menjatuhkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
               Pengajaran dalam bahasa Inggeris walaupun untuk satu mata pelajaran sahaja pasti akan menggugat segala usaha penterjemahan pembinaan istilah, penerbitan buku ilmu berbahasa Melayu, dan sebagainya. Sekaligus ini merencatkan segala perancangan pembinaan, dan pengembangan bahasa Melayu dalam jangka panjang. Ke manakah harus dicampakkan hampir sejuta istilah Matematik dan Sains berbahasa Melayu yang ditulis oleh pakar , pensyarah dan profesor selama ini. Implikasinya, murid terpaksa mempelajari istilah-istilah baru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Ini menyebabkan mereka tidak meminati pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
           Justeru itu, kementerian pelajaran telah mengambil langkah serius dengan melaksanakan dasar baru dengan memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Dasar ini menggantikan pelaksanaan PPSMI dalam sistem kurikulum sekolah. Berdasarkan laporan akhbar Berita Harian bertarikh 10 November 2011, strategi pelaksanaan dasar baru ini melalui proses berperingkat hingga murid Tahun satu menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada 2016, manakala Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) pada tahun 2021.
             Selain itu, KPM melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk aspek perguruan dan pengisian kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan. Menurut strategi pelaksanaan KPM terhadap MBMMBI, seramai 47,887 guru bahasa Inggeris sentiasa diberikan kursus bagi memastikan kualiti pengajaran ditingkatkan. Di samping itu, latihan kepada 6000 guru di institut perguruan seluruh negara dan pengambilan secara kontrak guru bersara yang kini 200 orang. Kementerian turut membawa masuk 360 ‘master teacher’ pakar bahasa Inggeris daripada 10 negara termasuk United Kingdom, Kanada, Denmark dan Australia untuk memerhati dan memberikan pandangan untuk menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran guru bahasa Inggeris serta pengambilan 50 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat bermula awal tahun 2012.
             Kita harus mengambil contoh teladan daripada negara lain, misalnya Filiphina dan India sejak kemerdekaan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tetapi negara tersebut mundur. Ia membuktikan bahawa bukan isu bahasa Inggeris yang menjadi persoalan dalam pemangkin pembangunan, tetapi ia berkaitan dengan budaya berfikir dan ilmu abagi masyarakatnya yang terbuka untuk belajar di Barat dan dalam masa yang sama teguh dan kukuh dengan jati diri. Usaha KPM dalam MBMMBI adalah langkah yang bijaksana meletakkan kedua-dua bahasa itu pada tempat yang wajar. Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 152 mengkanunkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Akta Pendidikan 1996 telah mensyaratkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kita.
            Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan secara teliti dan terancang adalah menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Kerajaan perlu melantik semula panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Manakala, bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa perlu diberi penambahbaikan. Oleh itu, kerajaan perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih berkesan. Dalam hal ini, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat menyeronokkan. Di samping itu juga, kerajaan boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru-guru ini akan didedahkan dengan teknik pengajaran bahasa Inggeris yang terkini. Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah, menengah, tingkatan 6 dan peringkat Matrikulasi. Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakkan sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI.
          Menurut laporan akhbar November 2011, jika dilihat sejak 30 tahun lalu, perkembangan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita amat memberangsangkan. Statistik menunjukkan dengan menggunakan bahasa ibunda, pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik amat memuaskan. Manakala pada tahun 2001, statistik menunjukkan pencapaian subjek Fizik anak-anak bangsa Melayu melampaui peratusan yang dicapai oleh pelajar bangsa lain. Ini jelas menunjukkan bahawa dengan menggunakan bahasa ibunda, ia tidak menjadi halangan untuk anak-anak bangsa kita menguasai subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
 
KESIMPULAN
Pemansuhan PPSMI yang telah diumumkan pada tahun 2009, adalah satu langkah yang bijaksana dalam meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya dan bahasa ilmu. Perjuangan ini ada dinyatakan dalam isi kandungan laporan Penyata Razak dan 1956 dan selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan semangat yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan bahasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Walaupun ada juga yang memberi alasan bahawa mengutamakan bahasa Melayu menyebabkan peluang mendapatkan pekerjaan adalah sukar. Jika kita sama-sama menjayakan MBMMBI dengan baik, tidak akan timbul isu ini kerana para pelajar dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi bahasa Inggeris. Ini sama seperti negara Korea Selatan, Jepun dan China yang tetap menggunakan bahasa ibunda masing-masing walaupun ketika dalam proses mengejar kemajuan. Oleh itu, langkah Malaysia kembali memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah satu langkah yang cukup wajar. Malaysia boleh maju tanpa terlupa jati diri dan asal usul. Nabi dan Rasul menyampaikan wahyu Allah dan segala pengajaran melalui bahasa yang sama dengan umatnya, misalnya peringatan dan pengajaran tenatang bahasa untuk penyampaian ilmu (surah Ibrahim : Ayat 4). Justeru itu, ilmu akan lebih baik diungkapkan dan dipelajari melalui bahasa penutur aslinya. Bukti tentang hal ini dapat dilihat, banyak negara yang mengagungkan bahasa Inggeris tetapi masih mundur misalnya India dan Filiphina. Oleh yang demikian, perkukuhkanlah penguasaan dan pengajaran  bahasa Inggeris, tetapi janganlah dengan cara mengorbankan hak dan peranan bahasa Melayu baik di Malaysia mahupun di dunia ini. 
 
Penulisan oleh : Maria binti Tationo
RUJUKAN
Ibrahim Saad. (1990), Perubahan Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007), Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur, PTS Professional.
Noriati A. Rashid. (2012), Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia, Selangor, Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Norizan Abdul Razak. (2006), Isu-isu Pendidikan Bahasa Sastera dan Psikologi di Malaysia, Selangor, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Robiah Sidin. (1998), Pemikiran dalam Pendidikan, Selangor, Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tie Fatt Hee. (2002), Undang-undang Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn. Bhd. 

No comments:

Post a Comment