Wednesday 29 August 2012

Mukadimah kami...........

Dewasa kini, sistem pendidikan di Malaysia mengalami banyak pindaan dan perubahan ekoran dari memenuhi keperluan semasa serta seiring dengan perkembangan dan kemajuan dalam bidang pendidikan. Namun begitu, di sebalik kerancakkan mengubah dan memperbaiki sistem tersebut ada harga yang perlu dibayar oleh kita terutama individu yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan khususnya GURU. Mengapa mesti guru? Inilah dilema yang dihadapi oleh guru-guru di Malaysia dalam usaha memberi yang terbaik buat anak bangsa..Jadi di kesempatan yang ada ini, kami mengupas serba sedikit isu-isu dalam bidang pendidikan yang boleh dikongsi bersama serta boleh dijadikan teladan dan sempadan buat kita. Namun, segala yang tertulis di sini diharapkan tidak menyinggung mana-mana pihak sementelah kita hanyalah INSAN BIASA...Selamat Membaca!!

Penggunaan Internet dalam Kalangan murid, Memudahkan @ Menyusahkan?


Kewujudan internet d negara ini bermula apabila Rangkaian Komputer Malaysia (Rangkom) diwujudkan pada tahun 1987. Sungguhpun demikian, MIMOS yang ditubuhkan pada tahun 1985 telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan perkhidmatan internet kerana projek RangKom terbesar menjadi projek “Joint Advanced Research Integrated Network” atau dikenali sebagai rangkaian bersepadu “JARING” pada taun 1991. Projek ini mempromosikan pertukaran maklumat dan pembangunan pangkalan data melalui capaian internet dengan kos yang tidak membebankan.
Internet merupakan salah satu penyalur pelbagai sumber maklumat kepada rangkaian komputer di seluruh dunia. Komputer dan pendidikan tidak dapat dipisahkan lagi dalam kehidupan manusia. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah membawa perubahan kepada gaya hidup masyarakat sedunia. Internet dianggap sebagai lautan data dan sumber. “Masyarakat yang hidup dalam zaman Internet dikenali masyarakat “ubiquitous” iaitu masyarakat yang saling berhubung di mana-mana di dunia dengan menggunakan gabungan komunikasi berkelajuan tinggi dan nanoteknologi”. (Utusan Malaysia, 2001). Negara yang menguasai bidang Internet dan teknologi maklumat ini bakal menerajui pembangunan masa depan. Sebagaimana ucapan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir (2001),

“Masyarakat yang menguasai maklumat akan menguasai dunia. Maklumat adalah aset strategic bagi pembangunan sesebuah negara. Negara yang bermaklumat boleh mempengaruhi dunia dan mempunyai daya saing yang tinggi untuk mengatasi cabaran dan mengusai pasaran dunia.”
Dengan perkembangan pesat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kini, paradigma yang usang seperti pendekatan menyogok ilmu dan membuat latihan dari buku kerja semata-mata perlu dianjak ke paradigma yang menuntut kepada pembelajaran secara global yang boleh dilaksanakan di mana sahaja.
Sistem pendidikan di Negara kita telah berkembang pesat dengan penggunaan komputer sebagai alat bantu mengajar menggantikan sistem tradisional yang berpusatkan guru. Kemudahan teknologi seperti teknologi Internet diwujudkan sebagai cabang dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran bestari. Walau bagaimanapun penyediaan bahan rujukan dan pengajaran adalah bergantung kepada kemampuan guru-guru menguasai dan mempunyai kemahiran dalam mengendalikan komputer khususnya dalam pencarian bahan menerusi Internet sesuai dengan perkembangan yang melanda sistem pendidikan di Malaysia. Kerajaan menyedari bahawa penggunaan Internet dalam pendidikan membawa banyak manfaat, persoalannya, sejauh mana penggunaan Internet telah diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan komputer semakin menjadi penting kepada manusia hari ini. Oleh itu,pengetahuan asas mengenai komputer dan Internet merupakan keperluan dalam dunia globalisasi. Di negara-negara maju, komputer juga telah digunakan dalam pelbagai bidang seperti industri, perdagangan dan penyelidikan. Dalam bidang pendidikan juga peranannya di harap dapat meningkatkan tahap pendidikan.
Internet dapat diaplikasikan dalam pendidikan melalui aktiviti-aktiviti samada dalam tugasan harian atau yang melibatkan proses P&P. Menurut Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan Malaysia (MTMK) melaporkan terdapat 10 juta pengguna internet dijangkakan pada tahun 2003. Terdapat pertambahan empat kali ganda atau pertambahan 400 peratus daripada 1.6 juta pada tahun 1998 kepada 6.5 juta pada tahun 2001 Berita Harian, 14 Jun 2002). Ini menunjukkan penggunaan internet ini diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan dalam pendidikan di Malaysia.
Bagi Negara barat aplikasi internet telah lama berkembang seawal tahun 2001. Kemunculan aplikasi teknologi dan aplikasi internet dalam Realiti Maya (Virtual Reality) telah berkembang masuk ke Malaysia. Kewujudan tuisyen secara realiti maya serta soal jawab mengundang inpak negatif dan positif kepada dunia pendidikan Negara.
Realiti maya (VR) adalah satu istilah yang digunakan terhadap persekitaran simulasi komputer yang boleh meniru kehadiran fizikal di tempat-tempat di dunia sebenar, serta di dunia khayalan. Kebanyakan semasa persekitaran realiti maya terutamanya pengalaman visual, dipaparkan sama ada di skrin komputer atau melalui khas memaparkan stereoskopik, tetapi sesetengah simulasi memasukkan mai dalambentuk maklumat deria tambahan, seperti bunyi melalui pembesar suara. Realiti maya meliputi persekitaran komunikasi jauh yang menyediakan kehadiran maya pengguna dengan konsep telepresence dan telexistence atau artifak maya (VA) sama ada melalui penggunaan standard peranti input seperti papan kekunci dan tetikus. Aplikasi ini menggunakan internet untuk disalurkan atau penambahbaikan program semula.
Aplikasi realiti maya dan internet adalah berkait rapat. Pengguna boleh mewakikan diri dalam bentuk avatar yang di wakilkan kepada diri sendiri. Pengguna boleh wewujudkan kelas dan terdiri daripada beberapa pelajar untuk berkomunikasi dan mewujudkan interaksi pengajaran dan pembelajaran. Ternyata dunia canggih hari ini hanya perlu berada di hujung jari.

Monday 27 August 2012

Kemahiran Penggunaan Komputer dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah

Mukadimah
 
Penggunaan komputer dalam pendidikan di Malaysia bermula sejak tahun 80-an dengan beberapa projek rintis seperti Projek Munsyi, Projek Penggunaan Komputer dalam pendidikan (CIE) dan berterusan dengan projek yang mutakhir iaitu Projek Sekolah Bestari yang konsepnya mula dipraktikkan pada tahun 1997. Pengenalan dan aplikasi komputer ini merubah sistem pendidikan negara hingga kini sistem ini melalui satu proses transformasi untuk merealisasikan penggunaan komputer dalam pendidikan dengan meluas untuk guru dan murid menyampai dan menyalurkan maklumat dan sebagai alat bantu mengajar yang penting.
         Penggunaan komputer dan capaian internet memerlukan kemahiran baru di kalangan guru dan pelajar. Penggunaan komoputer dan teknologi maklumat dalam pendidikan adalah tepat pada masanya dalam usaha kerajaan mencapai status negara maju yang berasaskan industri seperti yang divisikan dalam Wawasan 2020. Pengeluaran tenaga pekerja yang berpengetahuan, cekap dan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal perlu dimulakan dari tahap sekolah.
 
Cabaran Guru Menggunakan Komputer
 
Perubahan yang berlaku dalam arena pendidikan memberi cabaran baru kepada tenaga pengajar bahasa. Tugas pengajaran yang membabitkan penggunaan komputer mengkehendaki guru bahasa berkemahiran dan berkebolehan menggunakan komputer di samping kelayakan tradisi untuk menjadi guru. Cabaran ini bertambah dengan penukaran bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah. Keperluan untuk menyediakan bahan-bahan pengajaran dalam Bahasa Inggeris dan mencapai bahan sedia ada dalam internet memerlukan guru-guru yang berkemahiran dan celik IT. Tetapi majoriti guru masih belum sedia untuk menggunakan komputer dalam pengajaran dan hanya sebilangan kecil, iaitu 10% daripada sampel yang dikaji mahir menggunakan alat ini untuk pengajaran (Noriza 1998, 2003). Scheffler & Logan (1999) dan Shetzer & Warschauer (2000) pula menyatakan bahawa tuntutan pendidikan masa kini memrlukan guru melengkapi diri dengan kecekapan baru yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran berasaskan web dan berkomunikasi menggunakan komputer.
 

                                 
                                    Situasi pengajaran guru dalam Makmal Komputer di sekolah
 
Sumber Rujukan:
 
Isu pendidkan bahasa dan sastera dan psikologi di Malaysia oleh Norizan Abdul Razak, Rozainee Khairudin dan Ravichandran Vengadasamy

Wajarkah hukuman rotan ke atas pelajar?

RELEVENKAH HUKUMAN ROTAN BAGI MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR PADA MASA KINI ?
Oleh : Maria Binti Tationo 

 

Malaysia kini sedang mengecapi arus pemodenan. Pembangunan yang dikecapi bukan hanya dalam sektor ekonomi, malah sektor pendidikan juga sering mengalami perubahan penamabahbaikan selaras dengan arus pembangunan negara. Sistem pendidikan sering berubah dan berlaku penambahbaikan bertujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang seimbang bukan hanya dari segi intelek tetapi jasmani, emosi, rohani dan sosial. Ini bermakna, sektor pendidikan di Malaysia memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Jika kita lihat ketika ini, sektor pendidikan mampu meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar. Namun begitu, tanpa kita sedar nilai moral di kalangan generasi muda ketika ini semakin rendah. Tahap disiplin pelajar pada masa kini semakin membimbangkan. Banyak kes-kes berkaitan disiplin pelajar seringkali diperkatakan di dada akhbar. Adakah disebabkan kurang  penguasaan disiplin pelajar? Apakah tindakan yang diambil oleh pihak sekolah bagi mengatasi masalah ini? Justeru itu, penulisan ini akan menjelaskan tentang perkara yang sering menjadi isu di kalangan ibu bapa dan masyarakat iaitu isu rotan. Persoalannya, mampukah hukuman rotan memperbaiki disiplin pelajar di sekolah? Apakah inisiatif lain yang wajar dilaksanakan bagi  mengatasi masalah ini. Isu ini masih lagi diperkatakan di kalangan masyarakat. Terdapat segelintir ibu bapa dan masyarakat mempertikaikan tindakan ini. Mengapa pertikain ini berlaku? Segalanya akan dibicarakan di ruangan ini.

Generasi kini berbeza dengan generasi kita sebelum ini. Perbezaannya sudah jelas kita lihat di mana semakin banyak berlaku keruntuhan moral di kalangan pelajar sekolah. Misalnya, kes pelajar samseng, kes pukul guru, budaya lepak, hubungan seks bebas, pergaulan bebas, terlibat dengan sendiket pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah. Kes-kes seperti ini semakin banyak dilaporkan. Apakah tindakan yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini. Semua pihak harus memandang serius masalah ini kerana ianya semakin menular di kalangan pelajar sekolah. Pihak sekolah harus lebih tegas dalam menangani isu ini. Tindakan merotan pelajar sering dipertikaikan oleh segelintir ibu bapa dan masyarakat. Berbeza dengan masyarakat pada zaman dahulu. Masyarakat dahulu lebih bersifat terbuka yang mana mereka boleh menerima hukuman rotan sebagai tindakan untuk mendidik anak mereka. Kesannya, generasi pada masa itu lebih memiliki nilai moral yang tinggi berbanding generasi pada masa kini. Penerimaan ibu bapa kini terhadap tindakan rotan berbeza, ada segelintir mereka menyifatkan hukuman rotan sebagai suatu tindakan kejam ke atas pelajar sekolah. Adakah hukuman rotan mampu mendidik generasi muda pada masa kini?  Generasi pada masa kini banyak terdedah dengan perkembangan teknologi. Mentaliti mereka telah dikuasai oleh budaya yang dibawa oleh arus perkembangan teknologi yang tidak mampu dikawal lagi. Keperluan pembangunan teknologi ini penting sebagai jentera penggerak pembangunan negara. Namun begitu, akibat tiada kawalan yang menyeluruh, kesannya adalah kepada generasi muda pada masa kini yang lebih bersifat berdaya saing dalam arus pemodenan teknologi.

Oleh yang demikian, peranan guru pada masa kini kian mencabar dalam memenuhi harapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dalam semua aspek. Guru bukan hanya bertanggungjawab mendidik anak-anak bangsa, tetapi yang lebih penting adalah mendidik modal insan yang berkualiti dari semua aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan kualiti kecemerlangan pelajar. Akan tetapi, masalah disiplin juga semakin berada pada tahap yang membimbangkan semua pihak.

Penulisan ini akan memfokuskan tentang isu tindakan rotan yang sering menjadi buah bicara masyarakat kita pada masa kini. Sebelum mengupas lebih lanjut tentang isu ini, terlebih dahulu kita perlu tahu apa itu ‘hukuman berat’? Menurut Mohd Rashid Mohd Saad (2006), ia dapat didefinisikan sebagai sesuatu hukuman yang menyebabkan kesan ke atas tubuh badan seseorang. Sebagai contoh, di rumah apabila ibu ataupun ayah menangani anak ataupun dengan menggunakan rotan ke atas tubuh badan mereka dan di dalam institusi penjara pula, seorang penjenayah yang melakukan jenayah berat seperti membunuh dan sebagainya. Walaupun kedua-dua contoh di atas menimbulkan kesan tragis ke atas orang yang dihukum, namun ia dibolehkan. Ini kerana, jika sesuatu hukuman itu didasari oleh keadilan, maka ia tidak menjadi isu yang hendak diperdebatkan.

Namun, bagaimana pula jika merotan dijalankan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di institusi sekolah ? Ramai yang tidak setuju dengan tindakan ini. Oleh itu, bagaimana kita boleh membentuk modal insan yang memiliki nilai moral yang tinggi selain daripada hukuman ini. Tujuan merotan yang menimbulkan kesan yang tidak memcacatkan anggota tubuh pelajar difokuskan dalam penulisan ini. Daripada segi logiknya, perbuatan merotan yang tidak menimbulkan kesan kecacatan fizikal selalu menjadi isu di kebanyakkan sekolah di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Mengapa isu ini menjadi satu perbalahan besar antara pihak yang menyokong dan pihak yang menentang?

Merotan ; jika dibenarkan oleh KPM dilakukan secara adil ke atas seseorang murid yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh sekolah, dikenakan hukuman sedemikian atas dasar setelah nasihat, amaran dan denda yang dikenakan masih tidak mengubah tingkah laku negatif murid tersebut. Selain itu, merotan dilakukan oleh orang yang dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah, tidak menimbulkan kecacatan fizikal, dengan penuh rasa menjaga kepentingan menjaga keseimbangan sistem sekolah demi keselamatan murid lain dan juga dilakukan oleh guru bukan mengikut emosi atau perasaan membalas dendam adalah dibolehkan.

Adakah dengan menghapuskan hukuman merotan di sekolah-sekolah di negara-negara maju ada menunjukkan penurunan kes-kes disiplin di sekolah? Kajian-kajian yang dijalankan di negara maju walaupun dapat membuktikan yang penderaan kanak-kanak adalah berleluasa tetapi mereka tidak dapat membuktikan yang merotan dengan teknik yang betul dan tidak mencacatkan anggota badan pelajar dapat memberi tekanan mental dan fizikal ke atas pelajar-pelajar sekolah. Di samping itu, tidak ada satu pun kajian yang menunjukkan, merotan dengan teknik yang betul dan dengan tujuan mendisiplinkan pelajar adalah tidak berkesan. Kebanyakkan kajian yang dijalankan oleh ahli psikologi tidak menggunakan kaedah penyelidikan yang betul. Ini menyebabkan kita dapat menolak dapatan kajian yang dilihat sebagai berat sebelah dengan tujuan membuktikan pendapat mereka dan bukan dapatan kajian mereka. Banyak kajian yang dilakukan cenderung hendak membuktikan kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu bapa yang tidak bertangungjawab dan bukannya penggunaan rotan oleh guru selepas nasihat, amaran dan denda yang digunakan tidak mengubah tingkah laku pelajar.

Terdapat beberapa pemikir barat memberi pandangan tentang hukuman rotan ini. Antaranya, Friedman dan Schonberg (1994), mentakifkan perbuatan memukul sebagai tujuan mendisiplinkan anak-anak bagi membentuk sahsiah diri yang sempurna. Ini termasuklah kesempurnaan moral dan etika. Memukul anak mereka dengan tujuan hendak mengubah perangai mereka menjadi baik berlainan daripada penderaan kanak-kanak bagi tujuan mendisiplinkan mereka.

Manakala, Larzelere (2001) mengatakan dalam keadaan tertentu, menggunakan hukuman berat seperti merotan membuatkan anak itu lebih berdisiplin berbanding anak-anak yang tidak dikenakan hukuman dan hanya menggunakan nasihat, amaran ataupun denda. Jika hukuman berat ini kerap dan tidak memalukan pelajar, ia adalah hukuman paling baik bagi mendisiplinkan anak-anak.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan di sini bahawa, merotan sebenarnya tidak terlalu teruk dan tidak mencederakan anggota pelajar walaupun  kanak-kanak akan berasa pedih dan sakit. Ia Cuma bertujuan bagi menyatakan hukuman yang diberikan adalah kerana kesalahan yang sudah beberapa kali dinasihati dan diberi amaran. Hukuman ini perlu dijalankan selepas merancang dengan teliti teknik-teknik terbaik supaya tidak mencederakan pelajar dan bukan kerana marah atau dendam. Biasanya guru perlu merasionalkan kenapa pelajar dirotan dan menyatakan kebaikan supaya pelajar terus menjaga disiplin. Walau bagaimanapun, hukuman tersebut hendaklah dijalankan di tempat tersembunyi seperti di dalam bilik pengetua dan elakkan di tempat terbuka. Guru juga harus ada belas kasihan pada pelajar dan tidak mencederakan pelajar dengan kesan luka. Jika hukuman rotan masih tidak berkesan, pelajar tersebut dinasihatkan dihantar ke pakar-pakar psikiatri atau kaunseling untuk memperbaiki tingkahlakunya.

Berdasarkan pendapat tersebut, jelaslah di sini bahawa hukuman rotan ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin dengan cara yang betul adalah satu tindakan yang wajar. Semua pihak harus membuka minda terhadap hukuman ini dan menerimanya sebagai membentuk diri pelajar ke arah yang baik dengan berkesan. Ini kerana, pelajar sekarang semakin berani mencuba sesuatu yang boleh merosakan diri mereka seolah-olah pihak sekolah tiada hukuman yang  tegas dalam pengawalan disiplin pelajar. Diharap, melalui tindakan ini akan dapat membantu membentuk jiwa dan diri pelajar dengan berkesan. Walau bagaimanapun semua pendidik tidak harus mengambil kesempatan ini dengan memberi hukuman rotan sesuka hati tanpa alasan yang sewajarnya. Misalnya, guru harus mematuhi etika memberi hukuman rotan kepada murid. Guru perlu diberi pelbagai kursus berkaitan hal ini bagi membolehkan guru mengawal emosi dan memberi hukuman tersebut dengan cara yang betul supaya hukuman yang dikenakan tidak menyebabkan kecacatan kepada pelajar.
Turut dikongsikan di sini, bentuk-bentuk hukuman yang di larang berdasarkan maklumat Unit Disiplin KPM iaitu :
 
Hukuman terhadap fizikal
Hukuman terhadap mental dan emosi
·     Berdiri lama di tengah panas
·     Lari keliling padang
·     Berdiri lama dalam/luar bilik 
    darjah
·     Memukul diri sendiri/sesama 
    sendiri
·     Berdiri di atas kerusi / meja
·     Menarik rambut / tarik telinga
·     Belasah dengan alat seperti 
    tali pinggang atau pembaris.
·     Junjung kerusi atau buku
·     Cubit
·     Enjut/ketuk ketampi
·     Ketuk/ sekel kepala
·        Gunting rambut
·        Berdiri membuat latihan
·        Berleter
·        Gantung tulisan dibadan
·        Memalukan di khalayak ramai
·        Kelas tahanan pada waktu rehat
·        Memaki hamun
·        Conteng muka dengan kapur
·        Koyak buku latihan
·        Mengugut atau menggertak murid
·        Tidak menanda buku latihan
·        Tidak menghiraukan murid
Gambar 1.0 : Cara pelaksanaan hukuman rotan dengan betul
  •  Seorang saksi turunkan tandatangan serta rekodkan bilangan pukulan
  •  Kedudukan murid : kedua-dua tangan memegang meja dan badan membongkok
  • Hayunan rotan paras bahu, rotan di punggung yang berlapik atau tapak tangan.
  • Ukuran rotan lebih kurang 1 meter panjang dan bergaris pusat diameter 0.5sm serta bahagian hujung tidak pecah.
  • Hanya Pengetua/Guru Besar atau guru yang diberi kuasa secara bertulis boleh merotan. Rotan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk pendidikan dan bukan penderaan. 

    BIBLIOGRAFI

    Ang Jit Eng, Ph.D. Pengurusan Disiplin Murid. Kuala Lumpur : PTS Professional, 2007
    Larzelere, R.E. dan Smith, G.L. Controlled Longitudinal Effects of Five Disciplinary Tactics on Antisocial Behavior. Washington : The American Psychological Association, 2000
    Mohd Rashid Mohd Saad. Mengapa Rotan Tidak Berkesan? Kuala Lumpur : PTS Professional, 2006

Sebat syarie didik pelajar...mampukah?




Hukuman antara cara terbaik atasi masalah disiplin di sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran digesa mempraktikkan hukuman sebat mengikut kaedah syarie jika ia dilihat langkah terbaik bagi mendidik pelajar mengikut hukum Islam. 
Selain itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata hukuman itu perlu dilakukan ibu bapa terhadap anak mereka di tempat tertutup di sekolah. 

Katanya, prinsip hukuman dalam Islam untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan khalayak supaya insaf, sekali gus memungkinkan hukuman itu menjadi alternatif terbaik mengatasi masalah disiplin pelajar.

“Ibu bapa perlu dipanggil ke sekolah untuk melakukan hukuman sebat terhadap anak mereka. Jika ibu bapa tidak mahu dan takut untuk melakukannya, hukuman berkenaan boleh dilakukan guru dengan ibu bapa bertindak sebagai saksi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pelaksanaan hukuman rotan di sekolah untuk mengatasi disiplin pelajar.

Terbaru, seorang eksekutif wanita dibelasah enam pelajar perempuan Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, di depan anaknya dan puluhan pelajar lain, kelmarin.
Mohammad berkata, masyarakat perlu diberi kefahaman secukupnya sebelum hukuman mengikut hukuman Islam itu dijalankan.

Sementara itu, pembaca Berita Harian Online meminta Kementerian Pelajaran mengembalikan kuasa guru merotan dalam usaha mendidik pelajar menjadi lebih disiplin, berikutan banyak kes keganasan berlaku sekarang sehingga menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Tindakan itu perlu dilakukan segera kerana kegagalan membendung masalah disiplin pelajar menyebabkan budaya samseng dan buli di kalangan mereka semakin berkembang yang akhirnya mewujudkan suasana tidak selamat ketika di sekolah.

Mereka berkata, keadaan sekarang berbeza kerana kebanyakan ibu bapa tidak boleh menerima tindakan guru seperti itu, sehingga menyebabkan perlakuan anak mereka yang melanggar disiplin semakin tidak terkawal. 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sebatsyariedidikpelajar/Article

Apa pendapat anda?...sila kongsikannya di sini...

Bahasa Melayu.....Apa sudah jadi ???...

Menurut Robiah Sidin (1998), Pendidikan merupakan interaksi antara individu dengan individu lain atau interaksi antara individu dengan kumpulan-kumpulan sosial tertentu. Tujuan interaksi ialah untuk perkembangan individu dan seterusnya perkembangan masyarakat dan negara. Berdasarkan konteks tersebut, perdidikan diertikan sebagai satu proses, ‘sosialisasi’ atau pemasyarakatan dan istilah sosiologi. Melalui proses ini, pendidikan yang diberikan sama ada secara terancang mahupun tidak, yang diatur secara formal mahupun informal, diharap dapat membentuk perkembangan keseluruhan individu dan kumpulan individu.
           Secara umumnya, perkembangan tersebut merangkumi perkembangan kognitif (mental), afektif (sikap) dan kebolehan atau kemahiran fizikal dan sosial. Merujuk kepada pendidikan di Malaysia, didapati bahawa keperluan sosialisasi dan pembentukan personaliti individu dan kumpulan sosial ada dinyatakan dengan jelas sekali dalam Falsafah Pendidikan Negara. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1996). Mengikut Noriati A. Rashid (2012) penggubalan falsafah ini adalah berdasarkan Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979, Rukun Negara, Prinsip-prinsip dan matlamat pendidikan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan. Berikut adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan : 
        Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih Memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
            Apabila berbicara tentang pendidikan sebagai satu proses pembentukan diri manusia, kita tidak boleh lari daripada membicarakan matlamat dan objektif pendidikan. Segala tindakan mendidik dilakukan berdasarkan objektif dan matlamat yang ditetapkan oleh pemerintah negara, pembuat dasar pendidikan dengan mengambil kira nilai-nilai dan warisan budaya yang dianggap bernilai dan relevan. Objektif dan matlamat juga bergantung kepada arah tuju dan visi pembangunan yang dihajati untuk masyarakat pada masa hadapan. Misalnya kenyataan dalam Wawasan 2020, dijadikan panduan untuk membentuk objektif perkembangan dan pembangunan dalam banyak sektor termasuklah sektor pendidikan.
           Selain daripada pendidikan bertujuan untuk mensosialisasikan atau membudayakan individu, pendidikan juga adalah satu alat yang penting untuk membangunkan negara. Ini kerana, apabila kerajaan melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mendirikan sekolah, melatih guru-guru dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran, maka ia sebenarnya secara langsung menjalankan proses pembangunan negara dalam sektor pendidikan.
           Apabila membicarakan tentang pendidikan untuk membangunkan negara, maka selain daripada mementingkan matlamat dan objektif pendidikan, beberapa persoalan perlu diberi perhatian. Misalnya, adakah sistem pendidikan yang sering mengalami perubahan ini berkesan dan berjaya mengeluarkan hasil atau output sepertimana yang dirancangkan? Khususnya, adakah apa yang dibelanjakan sebagai pelaburan terhadap pendidikan dapat mencapai objektif dan matlamat? Selain itu, adakah perancangan pendidikan iaitu usaha untuk mengatur objektif, kurikulum dan corak penilaian sesuatu sistem pendidikan mengikut objektif-objektif pembangunan negara? Apakah corak dan jenis pendidikan yang dilaksanakan berkesan dalam mencapai objektif dan matlamat pendidikan yang telah ditetapkan oleh pemerintah negara dan pembuat dasar pendidikan?
           Oleh yang demikian, terdapat beberapa isu yang ingin dibicarakan dalam penulisan ilmiah ini. Sistem pendidikan negara kita kini sering mengalami pembaharuan sama ada dari segi perubahan kurikulum dan juga dasar pendidikan itu sendiri. Di sini, isu utama yang ingin dikupas secara ilmiah adalah isu yang sedang hangat diperkatakan di dalam media sama ada media massa mahupun elektronik iaitu sistem kurikulum sekolah. Seolah-olah sistem yang diubah ini menjadikan pelajar sebagai bahan ujian untuk mencapai matlamat dan objektif pembuat dasar pendidikan. Terdapat dua isu utama yang ingin dibicarakan di sini adalah berkaitan isu bahasa dan juga isu kurikulum sekolah. Penulisan ini akan membincangan tentang perlaksanaan dasar tersebut dan implikasinya kepada pendidikan di Malaysia serta tindakan kerajaan bagi mengatasi implikasi tersebut bagi memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tercapai.
           Sepertimana yang kita sedia maklum, penggubalan dasar bahasa penyampaian ilmu di sekolah telah berlaku perubahan yang telah menjadi isu di kalangan pemimpin dan penerimaan masyarakat iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah bermula pada tahun 2003. Objektif dasar ini adalah bagi mengatasi masalah penguasaan yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris. Dasar ini telah mendapat tentangan daripada pejuang bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Dasar ini juga telah menghalang perjuangan isi kandungan utama yang terkandung dalam Penyata Razak 1956 iaitu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Kini, pemimpin negara telah mengambil langkah bagi mengatasi implikasinya terhadap pencapaian pendidikan negara iaitu dengan melaksanakan dasar baharu iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris’. Dasar ini bertujuan untuk memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan. Oleh itu, dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah dimansuhkan secara berperingkat sehingga tahun 2014.
          Selain daripada itu, dasar kurikulum sekolah yang telah membawa pembaharuan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran subjek di sekolah iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Hal ini juga sering mendapat perhatian di kalangan pemimpin dan juga masyarakat. Pembaharuan ini juga sering diperkatakan di ruang akhbar dan berita televisyen mahupun radio. Objektif perubahan kurikulum ini bertujuan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Oleh sebab itu, sistem kurikulum sekolah diberi pembaharuan dengan melaksanakan dasar KSSR yang bertujuan memperkembangkan  potensi individu bukan hanya dalam akademik tetapi menyeluruh dari segi potensi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Oleh yang demikian, isu ini ingin dikupas secara ilmiah tentang keberkesanan dan implikasi pelaksanaannya di dalam sistem pendidikan di Malaysia.
 
PEMANSUHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS  (PPSMI) DAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SERTA MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS
           Isu Bahasa Melayu kini sedang hangat diperkatakan. Terdapat beberapa golongan yang telah berpandangan bahawa bahasa Melayu melambatkan kemajuan dalam era pensegatan. Di samping itu juga, ada juga menyatakan bahawa sistem pendidikan kebangsaan turut dipersalahkan kerana dikatakan melahirkan manusia kaku berhadapan dengan dunia sejagat. Kita perlu sedar dan ingat kembali sejarah Melayu pada ketika dahulu, yang mana Surat perhubungan antarabangsa berkaitan dengan perdagangan dan diplomatik daripada pembesar Eropah kepada raja-jara kepulauan Melayu ditulis dalam Bahasa Melayu malah dengan tulisan jawi. Malangnya kini ada yang mencadangkan supaya beberapa mata pelajaran diajarkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya, PPSMI merupakan satu dasar yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tujuan utama dasar ini dibuat adalah bagi mengatasi masalah penguasaan yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris. Dasar ini telah mendapat tentangan daripada kalangan pejuang dan pencinta Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Pengenalan dasar PPSMI dilihat dari sudut psikologi secara tidak langsung telah merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
           Mereka yang memperjuangkan bahasa Inggeris atas nama kepentingan kemajuan sains, teknologi dan pensejagatan. Seharusnya, usaha mencari jalan penyelesaian dan pendekatan yang sesuai dengan hasrat memperteguh bahasa Melayu agar terus berwibawa sebagai bahasa ilmu dan bukannya dengan mengenepikan peranannya dan digantikan dengan bahasa Inggeris.
            Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh sekolah rendah dan menengah bermula tahun 2003. Sememangnya semua pihak harus memainkan peranan untuk cuba menyelesaikan masalah, tetapi bukanlah masalah yang dicari sendiri akibat kesilapan memberi ubat yang tidak kena dengan penyakitnya. Sesungguhnya usaha memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik tidak seharusnya membunuh peranan bahasa Melayu, sekali gus menyekat dan membantutkan kemajuannya dalam bidang sains dan teknologi. Seharusnya kita ingat tentang kandungan Penyata Raza 1956, semenjak bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan sehingga pada peringkat universiti pada tahun 1983 iaitu memakan masa kira-kira 27 tahun, secara beransur-ansur mengambil langkah dengan berhati-hati untuk kebangsaankan sistem pendidikan negara.
             Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani (2007), Peralihan daripada bahasa pengantar Inggeris kepada bahasa pengantar Melayu dilakukan secara beransur-ansur. Bermula pada tahun 1973 semua mata pelajaran Sastera di sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) Inggeris diajarkan dalam bahasa Melayu. Dua tahun kemudian pada tahun 1975, kelas peralihan bahasa Inggeris dimansuhkan dan sekolah rendah jenis kebangsaan Inggeris ditukarkan menjadi sekolah rendah kebangsaan. Setahun kemudian, semua mata pelajaran Sastera, Sains dan Teknik diajarkan dalam bahasa Melayu di Tingkatan Satu sekolah menengah jenis kebangsaan Inggeris. Begitu juga mata pelajaran Sastera bagi Tingkatan Empat. Dua tahun kemudian, pada tahun 1978 peperiksaan LCE dimansuhkan dan digantikan dengan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan jurusan sastera dalam bahasa Melayu bagi tingkatan Enam bawah di SMJK Inggeris diadakan. Dua tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1980 peperiksaan MCE dimansuhkan dan digantikan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada tahun yang sama semua kursus sastera dan bersekutu dengannya di universiti bagi tahun satu dikuliahkan dalam bahasa Melayu. Setahun kemudian pada tahun 1981, semua jurusan sastera, sains, dan teknik diajarkan dalam bahasa Melayu.
            Manakala pada tahun 1982, lengkaplah sudah sekolah menengah jenis kebangsaan (Inggeris) menjadi sekolah menengah kebangsaan dan setahun kemudian, pada tahun 1983 semua kursus tahun satu universiti dalam bidang sastera, sains, kejuruteraan, perubatan dan lain-lain dikuliahkan dalam bahasa Melayu, selepas hampir 10 tahun perancangannya sejak tahun 1973. Perancangan ini belum dikira sejak tahun 1956 iaitu semasa Penyata Razak digubal. Begitulah jerih-perihnya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wadah bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi mengambil masa yang begitu lama dan beransur-ansur. Maka, daripada lebih lima juta pelajar tersebut, lahirlah profesor dan pakar sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain menerajui bidang kepakaran masing-masing di universiti mahupun di dalam organisasi masing-masing.
           Tetapi pada tahun 2003 dasar baru mula diperkenalkan iaitu dasar PPSMI. Dasar ini telah merendahkan martabat bahasa kebangsaan dan kepentingannya dalam bidang ilmu. Dasar ini diperkenalkan seolah-olah tidak menghargai usaha dan perjuangan tokoh-tokoh, pejuang dan pencinta bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sejarah pelaksanaan PPSMI ini bermula pada tahun 2002 iaitu pada bulan Julai mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu adalah perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah meluluskan dasar baru iaitu PPSMI. Setahun selepas itu, dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah manakala Tingkatan 1 untuk sekolah menengah.
            Seterusnya, pada tahun 2007 pelaksanaan penuh PPSMI dilakukan bagi peringkat sekolah menengah. Manakala, pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah dilakukan pada tahun 2008. Pada tahun 2009 lebih 8,000 penentang PPSMI telah menyertai demonstrasi bagi membantah pelaksanaan PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Demonstrasi tersebut telah dipimpin oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr. Hassan Ahmad. Pada Mei 2009 kesemua lima sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini telah mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut. Pada Jun 2009 pula, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran ‘jangan jadikan pelajar bahan ujian’. Manakala, pada Julai 2009 Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.
           Masyarakat Malaysia boleh mengambil pelbagai langkah untuk cekap berbahasa Inggeris, tetapi bukanlah dengan mengorbankan dan merendahkan martabat bahasa kebangsaan kita dengan mengkhianati peranan, usaha, dan keupayaan bahasa Melayu selama ini. Kenyataan ini sengaja diperkatakan bagi membuka minda semua pihak supaya merenung usaha selama ini yang meraih keprihatinan semua pihak. Seperti cerita rakyat yang menjadi teladan dalam kehidupan, lebih malanglah daripada Pak Kaduk, sudahlah kalah sorak, kampung pula tergadai.’ Oleh itu, semua pihak harus sedar bahawa pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya dan bahasa ilmu.
          Masalah pengangguran yang semakin meningkat ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Penguasaan bahasa Inggeris yang lemah bukanlah sebab utama ramai siswazah menganggur. Banyak faktor lain yang memerlukan kajian dan fakta yang jelas. Misalnya, masalah dominasi syarikat tertentu, syarat khusus pekerjaan yang mempunyai kelainan daripada kebiasaan, kegawatan ekonomi, penutupan dan perpindahan industri tertentu ke negara lain dan sebagainya. Penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar Melayu sendiri berada pada tahap penguasaan yang lemah, misalnya dalam keputusan PMR dan SPM. Tetapi perkara yang sama tidak pun hangat dibicarakan. Oleh itu, kita harus bimbang jika yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran. Justeru itu, jika penguasaan bahasa Inggeris yang lemah maka kita tidak seharusnya menyingkirkan bahasa Melayu daripada mata pelajaran sains dan matematik.
            Negara kita boleh mencontohi budaya bahasa di negara maju yang lain. Misalnya negara Jepun, terdapat program khas bahasa Jepun yang diikuti oleh pelajar Melayu termasuk bukan Melayu di Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya, bagi tempoh satu hingga dua tahun sahaja. Dalam masa yang singkat, mereka mampu menguasai bahasa Jepun dan mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Jepun dan secara langsung membolehkan mereka mengikuti program ijazah di Jepun. Jelaslah ini menunjukkan bahawa penyelesaian bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan baik bukanlah dengan mewujudkan satu aliran khusus berbahasa Inggeris ataupun dasar PPSMI. Di samping itu, bagaimana pula dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam ilmu sains dan matematik yang diperjuangkan oleh para ilmuwan tempatan secara terancang bertahun-tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka? Penguasaan bahasa Inggeris yang bermasalah, maka bahasa Inggerislah yang harus diatasi seperti mengkaji kaedah pengajaran yang lebih efektif, metodologi, motivasi, sikap pelajar, minat pelajar dan sebagainya. Pihak kementerian harus memikirkan strategi yang lebih berkesan bagi menarik minat pelajar terhadap bahasa Inggeris serta meningkatkan penguasaan dan pencapaian bahasa Inggeris.
          Malaysia seharusnya mencontohi negara-negara lain yang masih teguh menjunjung dan menggunakan bahasa ibunda sekalipun mempelajari bahasa lain tetapi terus maju seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Belgium, Itali, Scandinavia, dan banyak lagi. Jika bangsa lain boleh maju dengan bahasa ibundanya sendiri mengapa pula Malaysia tidak boleh maju dengan bahasa ibundanya? Justeru itu, pada tahun 2012 ini, pemansuhan PPSMI dilakukan secara berperingkat-peringkat dan akan tamat pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, dasar baru telah diperkenalkan iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris’ (MBMMBI).
           Organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia telah memperakui iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik dalam penyampaian pembelajaran terutamanya pada peringkat awal persekolahan. Oleh itu, pihak kementerian telah menetiliti beberapa implikasi pelaksanaan dasar PPSMI kepada pendidikan negara yang telah membawa impak negatif menyebabkan pelajar semakin tidak berminat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Akhirnya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meluluskan cadangan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh KPM mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenalpasti beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal.
 
Implikasi kepada Pendidikan Di Malaysia    
            Jika dirujuk pencapaian salah satu mata pelajaran sains iaitu Kimia SPM tahun 1996 hingga 1998 (pengantar bahasa Melayu), hanya sejumlah 3.5% pelajar bumiputera mendapat A1 dan A2 pada tahun 1996, 3.8% pada tahun 1997, dan 4.2% pada tahun 1998. Peratus peningkatannya amat kecil. Bagaimana pula tahun-tahun yang akan datang, apabila semuanya diajar dalam bahasa Inggeris? Berdasarkan satu kajian, mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan 4% penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya telah mengurangkan minat pelajar untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik. Manakala kajian 53 pakar bahasa menunjukkan bahawa dasar PPSMI telah menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75% murid yang tergolong dalam  kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Oleh yang demikian, pengenalan dasar PPSMI sebenarnya menjadikan pencapaian pelajar dalam menguasai bidang Sains dan Matematik bertambah mundur.
           Kajian telah membuktikan perkara ini dan bukti ini telah menolak hujah sesetengah pihak yang mengatakan bahawa penggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek itu akan membuatkan seseorang pelajar bertambah cepat penguasaan ilmunya. Hal ini dapat dilihat di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMMS) yang telah mendedahkan bahawa skor purata pencapaian pelajar Malaysia menurun secara signifikan dalam bidang Sains dan Matematik pada tahun 2003 berbanding 2007. Skor subjek Matematik menurun 34 mata daripada 508 kepada 474, manakala skor subjek Sains menurun 40 mata daripada 510 kepada 471. Penurunan skor ini menunjukkan pelajar tidak berkemampuan memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajar menerusi bahasa asing.
            Selain daripada itu, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hassan Ahmad menyatakan bahawa PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuklah dalam bidang Sains dan Matematik. Sebaliknya, pada tahun 2003 dasar baru mula diperkenalkan iaitu dasar PPSMI.
            Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati telah menjarakkan lagi jurang pencapaian Sains dan Matematik antara pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakkan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria semasa proses pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik. Majoriti murid terutamanya di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50% murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian tersebut juga mendapati lebih 80% murid Melayu sukar memahami pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Justerus, PPSMI dilihat telah memberi implikasi yang negatif dalam pendidikan di Malaysia terutama bagi pelajar di luar bandar.
           Oleh itu, kerajaan memansuhkan PPSMI kerana dasar ini tidak dilaksanakan seperti yang dihasratkan. PPSMI tidak berjaya mencapai matlamat penubuhannya untuk meningkatkan pembangunan sumber manusia bagi mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing tetapi hanya menjatuhkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
               Pengajaran dalam bahasa Inggeris walaupun untuk satu mata pelajaran sahaja pasti akan menggugat segala usaha penterjemahan pembinaan istilah, penerbitan buku ilmu berbahasa Melayu, dan sebagainya. Sekaligus ini merencatkan segala perancangan pembinaan, dan pengembangan bahasa Melayu dalam jangka panjang. Ke manakah harus dicampakkan hampir sejuta istilah Matematik dan Sains berbahasa Melayu yang ditulis oleh pakar , pensyarah dan profesor selama ini. Implikasinya, murid terpaksa mempelajari istilah-istilah baru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Ini menyebabkan mereka tidak meminati pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
           Justeru itu, kementerian pelajaran telah mengambil langkah serius dengan melaksanakan dasar baru dengan memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Dasar ini menggantikan pelaksanaan PPSMI dalam sistem kurikulum sekolah. Berdasarkan laporan akhbar Berita Harian bertarikh 10 November 2011, strategi pelaksanaan dasar baru ini melalui proses berperingkat hingga murid Tahun satu menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada 2016, manakala Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) pada tahun 2021.
             Selain itu, KPM melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk aspek perguruan dan pengisian kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan. Menurut strategi pelaksanaan KPM terhadap MBMMBI, seramai 47,887 guru bahasa Inggeris sentiasa diberikan kursus bagi memastikan kualiti pengajaran ditingkatkan. Di samping itu, latihan kepada 6000 guru di institut perguruan seluruh negara dan pengambilan secara kontrak guru bersara yang kini 200 orang. Kementerian turut membawa masuk 360 ‘master teacher’ pakar bahasa Inggeris daripada 10 negara termasuk United Kingdom, Kanada, Denmark dan Australia untuk memerhati dan memberikan pandangan untuk menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran guru bahasa Inggeris serta pengambilan 50 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat bermula awal tahun 2012.
             Kita harus mengambil contoh teladan daripada negara lain, misalnya Filiphina dan India sejak kemerdekaan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tetapi negara tersebut mundur. Ia membuktikan bahawa bukan isu bahasa Inggeris yang menjadi persoalan dalam pemangkin pembangunan, tetapi ia berkaitan dengan budaya berfikir dan ilmu abagi masyarakatnya yang terbuka untuk belajar di Barat dan dalam masa yang sama teguh dan kukuh dengan jati diri. Usaha KPM dalam MBMMBI adalah langkah yang bijaksana meletakkan kedua-dua bahasa itu pada tempat yang wajar. Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 152 mengkanunkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Akta Pendidikan 1996 telah mensyaratkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kita.
            Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan secara teliti dan terancang adalah menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Kerajaan perlu melantik semula panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Manakala, bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa perlu diberi penambahbaikan. Oleh itu, kerajaan perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih berkesan. Dalam hal ini, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat menyeronokkan. Di samping itu juga, kerajaan boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru-guru ini akan didedahkan dengan teknik pengajaran bahasa Inggeris yang terkini. Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah, menengah, tingkatan 6 dan peringkat Matrikulasi. Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakkan sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI.
          Menurut laporan akhbar November 2011, jika dilihat sejak 30 tahun lalu, perkembangan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita amat memberangsangkan. Statistik menunjukkan dengan menggunakan bahasa ibunda, pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik amat memuaskan. Manakala pada tahun 2001, statistik menunjukkan pencapaian subjek Fizik anak-anak bangsa Melayu melampaui peratusan yang dicapai oleh pelajar bangsa lain. Ini jelas menunjukkan bahawa dengan menggunakan bahasa ibunda, ia tidak menjadi halangan untuk anak-anak bangsa kita menguasai subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
 
KESIMPULAN
Pemansuhan PPSMI yang telah diumumkan pada tahun 2009, adalah satu langkah yang bijaksana dalam meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya dan bahasa ilmu. Perjuangan ini ada dinyatakan dalam isi kandungan laporan Penyata Razak dan 1956 dan selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan semangat yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan bahasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Walaupun ada juga yang memberi alasan bahawa mengutamakan bahasa Melayu menyebabkan peluang mendapatkan pekerjaan adalah sukar. Jika kita sama-sama menjayakan MBMMBI dengan baik, tidak akan timbul isu ini kerana para pelajar dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi bahasa Inggeris. Ini sama seperti negara Korea Selatan, Jepun dan China yang tetap menggunakan bahasa ibunda masing-masing walaupun ketika dalam proses mengejar kemajuan. Oleh itu, langkah Malaysia kembali memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah satu langkah yang cukup wajar. Malaysia boleh maju tanpa terlupa jati diri dan asal usul. Nabi dan Rasul menyampaikan wahyu Allah dan segala pengajaran melalui bahasa yang sama dengan umatnya, misalnya peringatan dan pengajaran tenatang bahasa untuk penyampaian ilmu (surah Ibrahim : Ayat 4). Justeru itu, ilmu akan lebih baik diungkapkan dan dipelajari melalui bahasa penutur aslinya. Bukti tentang hal ini dapat dilihat, banyak negara yang mengagungkan bahasa Inggeris tetapi masih mundur misalnya India dan Filiphina. Oleh yang demikian, perkukuhkanlah penguasaan dan pengajaran  bahasa Inggeris, tetapi janganlah dengan cara mengorbankan hak dan peranan bahasa Melayu baik di Malaysia mahupun di dunia ini. 
 
Penulisan oleh : Maria binti Tationo
RUJUKAN
Ibrahim Saad. (1990), Perubahan Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007), Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur, PTS Professional.
Noriati A. Rashid. (2012), Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia, Selangor, Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Norizan Abdul Razak. (2006), Isu-isu Pendidikan Bahasa Sastera dan Psikologi di Malaysia, Selangor, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Robiah Sidin. (1998), Pemikiran dalam Pendidikan, Selangor, Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tie Fatt Hee. (2002), Undang-undang Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn. Bhd.