Monday 27 August 2012

Wajarkah hukuman rotan ke atas pelajar?

RELEVENKAH HUKUMAN ROTAN BAGI MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR PADA MASA KINI ?
Oleh : Maria Binti Tationo 

 

Malaysia kini sedang mengecapi arus pemodenan. Pembangunan yang dikecapi bukan hanya dalam sektor ekonomi, malah sektor pendidikan juga sering mengalami perubahan penamabahbaikan selaras dengan arus pembangunan negara. Sistem pendidikan sering berubah dan berlaku penambahbaikan bertujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang seimbang bukan hanya dari segi intelek tetapi jasmani, emosi, rohani dan sosial. Ini bermakna, sektor pendidikan di Malaysia memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Jika kita lihat ketika ini, sektor pendidikan mampu meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar. Namun begitu, tanpa kita sedar nilai moral di kalangan generasi muda ketika ini semakin rendah. Tahap disiplin pelajar pada masa kini semakin membimbangkan. Banyak kes-kes berkaitan disiplin pelajar seringkali diperkatakan di dada akhbar. Adakah disebabkan kurang  penguasaan disiplin pelajar? Apakah tindakan yang diambil oleh pihak sekolah bagi mengatasi masalah ini? Justeru itu, penulisan ini akan menjelaskan tentang perkara yang sering menjadi isu di kalangan ibu bapa dan masyarakat iaitu isu rotan. Persoalannya, mampukah hukuman rotan memperbaiki disiplin pelajar di sekolah? Apakah inisiatif lain yang wajar dilaksanakan bagi  mengatasi masalah ini. Isu ini masih lagi diperkatakan di kalangan masyarakat. Terdapat segelintir ibu bapa dan masyarakat mempertikaikan tindakan ini. Mengapa pertikain ini berlaku? Segalanya akan dibicarakan di ruangan ini.

Generasi kini berbeza dengan generasi kita sebelum ini. Perbezaannya sudah jelas kita lihat di mana semakin banyak berlaku keruntuhan moral di kalangan pelajar sekolah. Misalnya, kes pelajar samseng, kes pukul guru, budaya lepak, hubungan seks bebas, pergaulan bebas, terlibat dengan sendiket pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah. Kes-kes seperti ini semakin banyak dilaporkan. Apakah tindakan yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini. Semua pihak harus memandang serius masalah ini kerana ianya semakin menular di kalangan pelajar sekolah. Pihak sekolah harus lebih tegas dalam menangani isu ini. Tindakan merotan pelajar sering dipertikaikan oleh segelintir ibu bapa dan masyarakat. Berbeza dengan masyarakat pada zaman dahulu. Masyarakat dahulu lebih bersifat terbuka yang mana mereka boleh menerima hukuman rotan sebagai tindakan untuk mendidik anak mereka. Kesannya, generasi pada masa itu lebih memiliki nilai moral yang tinggi berbanding generasi pada masa kini. Penerimaan ibu bapa kini terhadap tindakan rotan berbeza, ada segelintir mereka menyifatkan hukuman rotan sebagai suatu tindakan kejam ke atas pelajar sekolah. Adakah hukuman rotan mampu mendidik generasi muda pada masa kini?  Generasi pada masa kini banyak terdedah dengan perkembangan teknologi. Mentaliti mereka telah dikuasai oleh budaya yang dibawa oleh arus perkembangan teknologi yang tidak mampu dikawal lagi. Keperluan pembangunan teknologi ini penting sebagai jentera penggerak pembangunan negara. Namun begitu, akibat tiada kawalan yang menyeluruh, kesannya adalah kepada generasi muda pada masa kini yang lebih bersifat berdaya saing dalam arus pemodenan teknologi.

Oleh yang demikian, peranan guru pada masa kini kian mencabar dalam memenuhi harapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dalam semua aspek. Guru bukan hanya bertanggungjawab mendidik anak-anak bangsa, tetapi yang lebih penting adalah mendidik modal insan yang berkualiti dari semua aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan kualiti kecemerlangan pelajar. Akan tetapi, masalah disiplin juga semakin berada pada tahap yang membimbangkan semua pihak.

Penulisan ini akan memfokuskan tentang isu tindakan rotan yang sering menjadi buah bicara masyarakat kita pada masa kini. Sebelum mengupas lebih lanjut tentang isu ini, terlebih dahulu kita perlu tahu apa itu ‘hukuman berat’? Menurut Mohd Rashid Mohd Saad (2006), ia dapat didefinisikan sebagai sesuatu hukuman yang menyebabkan kesan ke atas tubuh badan seseorang. Sebagai contoh, di rumah apabila ibu ataupun ayah menangani anak ataupun dengan menggunakan rotan ke atas tubuh badan mereka dan di dalam institusi penjara pula, seorang penjenayah yang melakukan jenayah berat seperti membunuh dan sebagainya. Walaupun kedua-dua contoh di atas menimbulkan kesan tragis ke atas orang yang dihukum, namun ia dibolehkan. Ini kerana, jika sesuatu hukuman itu didasari oleh keadilan, maka ia tidak menjadi isu yang hendak diperdebatkan.

Namun, bagaimana pula jika merotan dijalankan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di institusi sekolah ? Ramai yang tidak setuju dengan tindakan ini. Oleh itu, bagaimana kita boleh membentuk modal insan yang memiliki nilai moral yang tinggi selain daripada hukuman ini. Tujuan merotan yang menimbulkan kesan yang tidak memcacatkan anggota tubuh pelajar difokuskan dalam penulisan ini. Daripada segi logiknya, perbuatan merotan yang tidak menimbulkan kesan kecacatan fizikal selalu menjadi isu di kebanyakkan sekolah di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Mengapa isu ini menjadi satu perbalahan besar antara pihak yang menyokong dan pihak yang menentang?

Merotan ; jika dibenarkan oleh KPM dilakukan secara adil ke atas seseorang murid yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh sekolah, dikenakan hukuman sedemikian atas dasar setelah nasihat, amaran dan denda yang dikenakan masih tidak mengubah tingkah laku negatif murid tersebut. Selain itu, merotan dilakukan oleh orang yang dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah, tidak menimbulkan kecacatan fizikal, dengan penuh rasa menjaga kepentingan menjaga keseimbangan sistem sekolah demi keselamatan murid lain dan juga dilakukan oleh guru bukan mengikut emosi atau perasaan membalas dendam adalah dibolehkan.

Adakah dengan menghapuskan hukuman merotan di sekolah-sekolah di negara-negara maju ada menunjukkan penurunan kes-kes disiplin di sekolah? Kajian-kajian yang dijalankan di negara maju walaupun dapat membuktikan yang penderaan kanak-kanak adalah berleluasa tetapi mereka tidak dapat membuktikan yang merotan dengan teknik yang betul dan tidak mencacatkan anggota badan pelajar dapat memberi tekanan mental dan fizikal ke atas pelajar-pelajar sekolah. Di samping itu, tidak ada satu pun kajian yang menunjukkan, merotan dengan teknik yang betul dan dengan tujuan mendisiplinkan pelajar adalah tidak berkesan. Kebanyakkan kajian yang dijalankan oleh ahli psikologi tidak menggunakan kaedah penyelidikan yang betul. Ini menyebabkan kita dapat menolak dapatan kajian yang dilihat sebagai berat sebelah dengan tujuan membuktikan pendapat mereka dan bukan dapatan kajian mereka. Banyak kajian yang dilakukan cenderung hendak membuktikan kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu bapa yang tidak bertangungjawab dan bukannya penggunaan rotan oleh guru selepas nasihat, amaran dan denda yang digunakan tidak mengubah tingkah laku pelajar.

Terdapat beberapa pemikir barat memberi pandangan tentang hukuman rotan ini. Antaranya, Friedman dan Schonberg (1994), mentakifkan perbuatan memukul sebagai tujuan mendisiplinkan anak-anak bagi membentuk sahsiah diri yang sempurna. Ini termasuklah kesempurnaan moral dan etika. Memukul anak mereka dengan tujuan hendak mengubah perangai mereka menjadi baik berlainan daripada penderaan kanak-kanak bagi tujuan mendisiplinkan mereka.

Manakala, Larzelere (2001) mengatakan dalam keadaan tertentu, menggunakan hukuman berat seperti merotan membuatkan anak itu lebih berdisiplin berbanding anak-anak yang tidak dikenakan hukuman dan hanya menggunakan nasihat, amaran ataupun denda. Jika hukuman berat ini kerap dan tidak memalukan pelajar, ia adalah hukuman paling baik bagi mendisiplinkan anak-anak.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan di sini bahawa, merotan sebenarnya tidak terlalu teruk dan tidak mencederakan anggota pelajar walaupun  kanak-kanak akan berasa pedih dan sakit. Ia Cuma bertujuan bagi menyatakan hukuman yang diberikan adalah kerana kesalahan yang sudah beberapa kali dinasihati dan diberi amaran. Hukuman ini perlu dijalankan selepas merancang dengan teliti teknik-teknik terbaik supaya tidak mencederakan pelajar dan bukan kerana marah atau dendam. Biasanya guru perlu merasionalkan kenapa pelajar dirotan dan menyatakan kebaikan supaya pelajar terus menjaga disiplin. Walau bagaimanapun, hukuman tersebut hendaklah dijalankan di tempat tersembunyi seperti di dalam bilik pengetua dan elakkan di tempat terbuka. Guru juga harus ada belas kasihan pada pelajar dan tidak mencederakan pelajar dengan kesan luka. Jika hukuman rotan masih tidak berkesan, pelajar tersebut dinasihatkan dihantar ke pakar-pakar psikiatri atau kaunseling untuk memperbaiki tingkahlakunya.

Berdasarkan pendapat tersebut, jelaslah di sini bahawa hukuman rotan ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin dengan cara yang betul adalah satu tindakan yang wajar. Semua pihak harus membuka minda terhadap hukuman ini dan menerimanya sebagai membentuk diri pelajar ke arah yang baik dengan berkesan. Ini kerana, pelajar sekarang semakin berani mencuba sesuatu yang boleh merosakan diri mereka seolah-olah pihak sekolah tiada hukuman yang  tegas dalam pengawalan disiplin pelajar. Diharap, melalui tindakan ini akan dapat membantu membentuk jiwa dan diri pelajar dengan berkesan. Walau bagaimanapun semua pendidik tidak harus mengambil kesempatan ini dengan memberi hukuman rotan sesuka hati tanpa alasan yang sewajarnya. Misalnya, guru harus mematuhi etika memberi hukuman rotan kepada murid. Guru perlu diberi pelbagai kursus berkaitan hal ini bagi membolehkan guru mengawal emosi dan memberi hukuman tersebut dengan cara yang betul supaya hukuman yang dikenakan tidak menyebabkan kecacatan kepada pelajar.
Turut dikongsikan di sini, bentuk-bentuk hukuman yang di larang berdasarkan maklumat Unit Disiplin KPM iaitu :
 
Hukuman terhadap fizikal
Hukuman terhadap mental dan emosi
·     Berdiri lama di tengah panas
·     Lari keliling padang
·     Berdiri lama dalam/luar bilik 
    darjah
·     Memukul diri sendiri/sesama 
    sendiri
·     Berdiri di atas kerusi / meja
·     Menarik rambut / tarik telinga
·     Belasah dengan alat seperti 
    tali pinggang atau pembaris.
·     Junjung kerusi atau buku
·     Cubit
·     Enjut/ketuk ketampi
·     Ketuk/ sekel kepala
·        Gunting rambut
·        Berdiri membuat latihan
·        Berleter
·        Gantung tulisan dibadan
·        Memalukan di khalayak ramai
·        Kelas tahanan pada waktu rehat
·        Memaki hamun
·        Conteng muka dengan kapur
·        Koyak buku latihan
·        Mengugut atau menggertak murid
·        Tidak menanda buku latihan
·        Tidak menghiraukan murid
Gambar 1.0 : Cara pelaksanaan hukuman rotan dengan betul
  •  Seorang saksi turunkan tandatangan serta rekodkan bilangan pukulan
  •  Kedudukan murid : kedua-dua tangan memegang meja dan badan membongkok
  • Hayunan rotan paras bahu, rotan di punggung yang berlapik atau tapak tangan.
  • Ukuran rotan lebih kurang 1 meter panjang dan bergaris pusat diameter 0.5sm serta bahagian hujung tidak pecah.
  • Hanya Pengetua/Guru Besar atau guru yang diberi kuasa secara bertulis boleh merotan. Rotan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk pendidikan dan bukan penderaan. 

    BIBLIOGRAFI

    Ang Jit Eng, Ph.D. Pengurusan Disiplin Murid. Kuala Lumpur : PTS Professional, 2007
    Larzelere, R.E. dan Smith, G.L. Controlled Longitudinal Effects of Five Disciplinary Tactics on Antisocial Behavior. Washington : The American Psychological Association, 2000
    Mohd Rashid Mohd Saad. Mengapa Rotan Tidak Berkesan? Kuala Lumpur : PTS Professional, 2006

No comments:

Post a Comment