Menurut Robiah Sidin (1998),
Pendidikan merupakan interaksi antara individu dengan individu lain atau
interaksi antara individu dengan kumpulan-kumpulan sosial tertentu. Tujuan
interaksi ialah untuk perkembangan individu dan seterusnya perkembangan
masyarakat dan negara. Berdasarkan konteks tersebut, perdidikan diertikan
sebagai satu proses, ‘sosialisasi’ atau pemasyarakatan dan istilah sosiologi.
Melalui proses ini, pendidikan yang diberikan sama ada secara terancang mahupun
tidak, yang diatur secara formal mahupun informal, diharap dapat membentuk
perkembangan keseluruhan individu dan kumpulan individu.
Secara umumnya, perkembangan
tersebut merangkumi perkembangan kognitif (mental), afektif (sikap) dan
kebolehan atau kemahiran fizikal dan sosial. Merujuk kepada pendidikan di
Malaysia, didapati bahawa keperluan sosialisasi dan pembentukan personaliti
individu dan kumpulan sosial ada dinyatakan dengan jelas sekali dalam Falsafah
Pendidikan Negara. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan
Negara (FPN) tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) pada tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1996). Mengikut Noriati A.
Rashid (2012) penggubalan falsafah ini adalah berdasarkan Penyata Razak 1956,
Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974,
Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979, Rukun Negara, Prinsip-prinsip dan matlamat
pendidikan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan. Berikut adalah Falsafah
Pendidikan Kebangsaan :
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha
berterusan ke arah lebih Memperkembangkan lagi
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek,
rohani, emosi, jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Apabila
berbicara tentang pendidikan sebagai satu proses pembentukan diri manusia, kita
tidak boleh lari daripada membicarakan matlamat dan objektif pendidikan. Segala
tindakan mendidik dilakukan berdasarkan objektif dan matlamat yang ditetapkan
oleh pemerintah negara, pembuat dasar pendidikan dengan mengambil kira
nilai-nilai dan warisan budaya yang dianggap bernilai dan relevan. Objektif dan
matlamat juga bergantung kepada arah tuju dan visi pembangunan yang dihajati
untuk masyarakat pada masa hadapan. Misalnya kenyataan dalam Wawasan 2020,
dijadikan panduan untuk membentuk objektif perkembangan dan pembangunan dalam
banyak sektor termasuklah sektor pendidikan.
Selain
daripada pendidikan bertujuan untuk mensosialisasikan atau membudayakan
individu, pendidikan juga adalah satu alat yang penting untuk membangunkan
negara. Ini kerana, apabila kerajaan melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mendirikan
sekolah, melatih guru-guru dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengajaran
dan pembelajaran, maka ia sebenarnya secara langsung menjalankan proses
pembangunan negara dalam sektor pendidikan.
Apabila
membicarakan tentang pendidikan untuk membangunkan negara, maka selain daripada
mementingkan matlamat dan objektif pendidikan, beberapa persoalan perlu diberi
perhatian. Misalnya, adakah sistem pendidikan yang sering mengalami perubahan
ini berkesan dan berjaya mengeluarkan hasil atau output sepertimana yang
dirancangkan? Khususnya, adakah apa yang dibelanjakan sebagai pelaburan
terhadap pendidikan dapat mencapai objektif dan matlamat? Selain itu, adakah
perancangan pendidikan iaitu usaha untuk mengatur objektif, kurikulum dan corak
penilaian sesuatu sistem pendidikan mengikut objektif-objektif pembangunan
negara? Apakah corak dan jenis pendidikan yang dilaksanakan berkesan dalam
mencapai objektif dan matlamat pendidikan yang telah ditetapkan oleh pemerintah
negara dan pembuat dasar pendidikan?
Oleh
yang demikian, terdapat beberapa isu yang ingin dibicarakan dalam penulisan
ilmiah ini. Sistem pendidikan negara kita kini sering mengalami pembaharuan
sama ada dari segi perubahan kurikulum dan juga dasar pendidikan itu sendiri.
Di sini, isu utama yang ingin dikupas secara ilmiah adalah isu yang sedang
hangat diperkatakan di dalam media sama ada media massa mahupun elektronik
iaitu sistem kurikulum sekolah. Seolah-olah sistem yang diubah ini menjadikan
pelajar sebagai bahan ujian untuk mencapai matlamat dan objektif pembuat dasar
pendidikan. Terdapat dua isu utama yang ingin dibicarakan di sini adalah
berkaitan isu bahasa dan juga isu kurikulum sekolah. Penulisan ini akan
membincangan tentang perlaksanaan dasar tersebut dan implikasinya kepada
pendidikan di Malaysia serta tindakan kerajaan bagi mengatasi implikasi
tersebut bagi memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
tercapai.
Sepertimana
yang kita sedia maklum, penggubalan dasar bahasa penyampaian ilmu di sekolah telah
berlaku perubahan yang telah menjadi isu di kalangan pemimpin dan penerimaan
masyarakat iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) yang telah bermula pada tahun 2003. Objektif dasar ini adalah
bagi mengatasi masalah penguasaan yang lemah dalam subjek Bahasa Inggeris.
Dasar ini telah mendapat tentangan daripada pejuang bahasa kebangsaan iaitu
Bahasa Melayu. Dasar ini juga telah menghalang perjuangan isi kandungan utama
yang terkandung dalam Penyata Razak 1956 iaitu menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa Kebangsaan. Kini, pemimpin negara telah mengambil langkah bagi mengatasi
implikasinya terhadap pencapaian pendidikan negara iaitu dengan melaksanakan
dasar baharu iaitu ‘Memartabatkan Bahasa
Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris’. Dasar ini bertujuan untuk
memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan. Oleh itu, dasar
kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) telah dimansuhkan secara berperingkat sehingga tahun 2014.
Selain
daripada itu, dasar kurikulum sekolah yang telah membawa pembaharuan dalam
sistem pengajaran dan pembelajaran subjek di sekolah iaitu Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR). Hal ini juga sering mendapat perhatian di kalangan
pemimpin dan juga masyarakat. Pembaharuan ini juga sering diperkatakan di ruang
akhbar dan berita televisyen mahupun radio. Objektif perubahan kurikulum ini
bertujuan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani,
emosi, jasmani dan sosial. Oleh sebab itu, sistem kurikulum sekolah diberi
pembaharuan dengan melaksanakan dasar KSSR yang bertujuan memperkembangkan potensi individu bukan hanya dalam akademik
tetapi menyeluruh dari segi potensi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Oleh yang demikian, isu ini ingin dikupas secara ilmiah tentang keberkesanan
dan implikasi pelaksanaannya di dalam sistem pendidikan di Malaysia.
PEMANSUHAN
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SERTA
MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS
Isu
Bahasa Melayu kini sedang hangat diperkatakan. Terdapat beberapa golongan yang
telah berpandangan bahawa bahasa Melayu melambatkan kemajuan dalam era
pensegatan. Di samping itu juga, ada juga menyatakan bahawa sistem pendidikan
kebangsaan turut dipersalahkan kerana dikatakan melahirkan manusia kaku
berhadapan dengan dunia sejagat. Kita perlu sedar dan ingat kembali sejarah
Melayu pada ketika dahulu, yang mana Surat perhubungan antarabangsa berkaitan
dengan perdagangan dan diplomatik daripada pembesar Eropah kepada raja-jara
kepulauan Melayu ditulis dalam Bahasa Melayu malah dengan tulisan jawi.
Malangnya kini ada yang mencadangkan supaya beberapa mata pelajaran diajarkan
dalam bahasa Inggeris. Misalnya, PPSMI merupakan satu dasar yang telah diluluskan
oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tujuan
utama dasar ini dibuat adalah bagi mengatasi masalah penguasaan yang lemah
dalam subjek Bahasa Inggeris. Dasar ini telah mendapat tentangan daripada
kalangan pejuang dan pencinta Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Pengenalan
dasar PPSMI dilihat dari sudut psikologi secara tidak langsung telah
merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Mereka
yang memperjuangkan bahasa Inggeris atas nama kepentingan kemajuan sains,
teknologi dan pensejagatan. Seharusnya, usaha mencari jalan penyelesaian dan
pendekatan yang sesuai dengan hasrat memperteguh bahasa Melayu agar terus
berwibawa sebagai bahasa ilmu dan bukannya dengan mengenepikan peranannya dan
digantikan dengan bahasa Inggeris.
Dasar
PPSMI dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh sekolah rendah dan menengah
bermula tahun 2003. Sememangnya semua pihak harus memainkan peranan untuk cuba
menyelesaikan masalah, tetapi bukanlah masalah yang dicari sendiri akibat
kesilapan memberi ubat yang tidak kena dengan penyakitnya. Sesungguhnya usaha
memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik tidak seharusnya
membunuh peranan bahasa Melayu, sekali gus menyekat dan membantutkan
kemajuannya dalam bidang sains dan teknologi. Seharusnya kita ingat tentang
kandungan Penyata Raza 1956, semenjak bahasa Melayu digunakan dalam sistem
pendidikan sehingga pada peringkat universiti pada tahun 1983 iaitu memakan
masa kira-kira 27 tahun, secara beransur-ansur mengambil langkah dengan
berhati-hati untuk kebangsaankan sistem pendidikan negara.
Menurut
Kamal Shukri Abdullah Sani (2007), Peralihan daripada bahasa pengantar Inggeris
kepada bahasa pengantar Melayu dilakukan secara beransur-ansur. Bermula pada
tahun 1973 semua mata pelajaran Sastera di sekolah menengah jenis kebangsaan
(SMJK) Inggeris diajarkan dalam bahasa Melayu. Dua tahun kemudian pada tahun
1975, kelas peralihan bahasa Inggeris dimansuhkan dan sekolah rendah jenis
kebangsaan Inggeris ditukarkan menjadi sekolah rendah kebangsaan. Setahun
kemudian, semua mata pelajaran Sastera, Sains dan Teknik diajarkan dalam bahasa
Melayu di Tingkatan Satu sekolah menengah jenis kebangsaan Inggeris. Begitu
juga mata pelajaran Sastera bagi Tingkatan Empat. Dua tahun kemudian, pada
tahun 1978 peperiksaan LCE dimansuhkan dan digantikan dengan Sijil Rendah
Pelajaran (SRP) dan jurusan sastera dalam bahasa Melayu bagi tingkatan Enam
bawah di SMJK Inggeris diadakan. Dua tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1980
peperiksaan MCE dimansuhkan dan digantikan dengan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM). Pada tahun yang sama semua kursus sastera dan bersekutu dengannya di
universiti bagi tahun satu dikuliahkan dalam bahasa Melayu. Setahun kemudian
pada tahun 1981, semua jurusan sastera, sains, dan teknik diajarkan dalam bahasa
Melayu.
Manakala
pada tahun 1982, lengkaplah sudah sekolah menengah jenis kebangsaan (Inggeris)
menjadi sekolah menengah kebangsaan dan setahun kemudian, pada tahun 1983 semua
kursus tahun satu universiti dalam bidang sastera, sains, kejuruteraan,
perubatan dan lain-lain dikuliahkan dalam bahasa Melayu, selepas hampir 10
tahun perancangannya sejak tahun 1973. Perancangan ini belum dikira sejak tahun
1956 iaitu semasa Penyata Razak digubal. Begitulah jerih-perihnya perjuangan
memartabatkan bahasa Melayu sebagai wadah bahasa ilmu, bahasa sains dan
teknologi mengambil masa yang begitu lama dan beransur-ansur. Maka, daripada
lebih lima juta pelajar tersebut, lahirlah profesor dan pakar sains, teknologi,
perubatan, kejuruteraan dan lain-lain menerajui bidang kepakaran masing-masing
di universiti mahupun di dalam organisasi masing-masing.
Tetapi
pada tahun 2003 dasar baru mula diperkenalkan iaitu dasar PPSMI. Dasar ini
telah merendahkan martabat bahasa kebangsaan dan kepentingannya dalam bidang
ilmu. Dasar ini diperkenalkan seolah-olah tidak menghargai usaha dan perjuangan
tokoh-tokoh, pejuang dan pencinta bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu. Sejarah pelaksanaan PPSMI ini bermula pada tahun
2002 iaitu pada bulan Julai mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu adalah
perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah meluluskan dasar baru iaitu
PPSMI. Setahun selepas itu, dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat
dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah manakala Tingkatan 1 untuk
sekolah menengah.
Seterusnya,
pada tahun 2007 pelaksanaan penuh PPSMI dilakukan bagi peringkat sekolah
menengah. Manakala, pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah
dilakukan pada tahun 2008. Pada tahun 2009 lebih 8,000 penentang PPSMI telah
menyertai demonstrasi bagi membantah pelaksanaan PPSMI dengan berarak ke Istana
Negara. Demonstrasi tersebut telah dipimpin oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr. Hassan Ahmad. Pada Mei 2009
kesemua lima sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini telah
mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut. Pada Jun
2009 pula, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan
dasar tersebut dengan memberi amaran ‘jangan jadikan pelajar bahan ujian’.
Manakala, pada Julai 2009 Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya
pada 2012.
Masyarakat
Malaysia boleh mengambil pelbagai langkah untuk cekap berbahasa Inggeris,
tetapi bukanlah dengan mengorbankan dan merendahkan martabat bahasa kebangsaan
kita dengan mengkhianati peranan, usaha, dan keupayaan bahasa Melayu selama
ini. Kenyataan ini sengaja diperkatakan bagi membuka minda semua pihak supaya
merenung usaha selama ini yang meraih keprihatinan semua pihak. Seperti cerita
rakyat yang menjadi teladan dalam kehidupan, lebih malanglah daripada Pak
Kaduk, sudahlah kalah sorak, kampung pula tergadai.’ Oleh itu, semua pihak
harus sedar bahawa pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya
dan bahasa ilmu.
Masalah
pengangguran yang semakin meningkat ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih
luas. Penguasaan bahasa Inggeris yang lemah bukanlah sebab utama ramai siswazah
menganggur. Banyak faktor lain yang memerlukan kajian dan fakta yang jelas.
Misalnya, masalah dominasi syarikat tertentu, syarat khusus pekerjaan yang
mempunyai kelainan daripada kebiasaan, kegawatan ekonomi, penutupan dan
perpindahan industri tertentu ke negara lain dan sebagainya. Penguasaan bahasa
Melayu di kalangan pelajar Melayu sendiri berada pada tahap penguasaan yang
lemah, misalnya dalam keputusan PMR dan SPM. Tetapi perkara yang sama tidak pun
hangat dibicarakan. Oleh itu, kita harus bimbang jika yang dikejar tidak dapat
dan yang dikendong berciciran. Justeru itu, jika penguasaan bahasa Inggeris
yang lemah maka kita tidak seharusnya menyingkirkan bahasa Melayu daripada mata
pelajaran sains dan matematik.
Negara
kita boleh mencontohi budaya bahasa di negara maju yang lain. Misalnya negara
Jepun, terdapat program khas bahasa Jepun yang diikuti oleh pelajar Melayu
termasuk bukan Melayu di Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya, bagi tempoh
satu hingga dua tahun sahaja. Dalam masa yang singkat, mereka mampu menguasai
bahasa Jepun dan mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Jepun dan secara
langsung membolehkan mereka mengikuti program ijazah di Jepun. Jelaslah ini
menunjukkan bahawa penyelesaian bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
dengan baik bukanlah dengan mewujudkan satu aliran khusus berbahasa Inggeris
ataupun dasar PPSMI. Di samping itu, bagaimana pula dengan usaha memartabatkan
bahasa Melayu dalam ilmu sains dan matematik yang diperjuangkan oleh para
ilmuwan tempatan secara terancang bertahun-tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka?
Penguasaan bahasa Inggeris yang bermasalah, maka bahasa Inggerislah yang harus
diatasi seperti mengkaji kaedah pengajaran yang lebih efektif, metodologi,
motivasi, sikap pelajar, minat pelajar dan sebagainya. Pihak kementerian harus
memikirkan strategi yang lebih berkesan bagi menarik minat pelajar terhadap
bahasa Inggeris serta meningkatkan penguasaan dan pencapaian bahasa Inggeris.
Malaysia
seharusnya mencontohi negara-negara lain yang masih teguh menjunjung dan
menggunakan bahasa ibunda sekalipun mempelajari bahasa lain tetapi terus maju
seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Belgium, Itali, Scandinavia, dan banyak
lagi. Jika bangsa lain boleh maju dengan bahasa ibundanya sendiri mengapa pula
Malaysia tidak boleh maju dengan bahasa ibundanya? Justeru itu, pada tahun 2012
ini, pemansuhan PPSMI dilakukan secara berperingkat-peringkat dan akan tamat
pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, dasar baru telah diperkenalkan iaitu
‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris’ (MBMMBI).
Organisasi
antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek
kebahasaan dan kebudayaan dunia telah memperakui iaitu bahasa ibunda adalah
bahasa terbaik dalam penyampaian pembelajaran terutamanya pada peringkat awal
persekolahan. Oleh itu, pihak kementerian telah menetiliti beberapa implikasi
pelaksanaan dasar PPSMI kepada pendidikan negara yang telah membawa impak negatif
menyebabkan pelajar semakin tidak berminat mengikuti pengajaran dan
pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Akhirnya, Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) telah meluluskan cadangan strategi untuk memartabatkan
bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Strategi ini dirangka
berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh KPM mengenai
PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003. Tan Sri Muhyiddin
Yassin mengenalpasti beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak
kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek
teknikal.
Implikasi
kepada Pendidikan Di Malaysia
Jika dirujuk pencapaian
salah satu mata pelajaran sains iaitu Kimia SPM tahun 1996 hingga 1998
(pengantar bahasa Melayu), hanya sejumlah 3.5% pelajar bumiputera mendapat A1
dan A2 pada tahun 1996, 3.8% pada tahun 1997, dan 4.2% pada tahun 1998. Peratus
peningkatannya amat kecil. Bagaimana pula tahun-tahun yang akan datang, apabila
semuanya diajar dalam bahasa Inggeris? Berdasarkan satu kajian, mendapati PPSMI
hanya berjaya meningkatkan 4% penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya
telah mengurangkan minat pelajar untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik.
Manakala kajian 53 pakar bahasa menunjukkan bahawa dasar PPSMI telah
menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75% murid yang
tergolong dalam kategori pencapaian
sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit iaitu bahasa Inggeris,
Sains dan Matematik. Oleh yang demikian, pengenalan dasar PPSMI sebenarnya
menjadikan pencapaian pelajar dalam menguasai bidang Sains dan Matematik
bertambah mundur.
Kajian telah membuktikan
perkara ini dan bukti ini telah menolak hujah sesetengah pihak yang mengatakan
bahawa penggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek itu akan
membuatkan seseorang pelajar bertambah cepat penguasaan ilmunya. Hal ini dapat
dilihat di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study
(TIMMS) yang telah mendedahkan bahawa skor purata pencapaian pelajar Malaysia
menurun secara signifikan dalam bidang Sains dan Matematik pada tahun 2003
berbanding 2007. Skor subjek Matematik menurun 34 mata daripada 508 kepada 474,
manakala skor subjek Sains menurun 40 mata daripada 510 kepada 471. Penurunan
skor ini menunjukkan pelajar tidak berkemampuan memahami ilmu Sains dan
Matematik yang diajar menerusi bahasa asing.
Selain daripada itu, tokoh
bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr.
Hassan Ahmad menyatakan bahawa PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam
bahasa Melayu termasuklah dalam bidang Sains dan Matematik. Sebaliknya, pada
tahun 2003 dasar baru mula diperkenalkan iaitu dasar PPSMI.
Menurut kajian Universiti
Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati telah menjarakkan
lagi jurang pencapaian Sains dan Matematik antara pelajar bandar dan luar
bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakkan
murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria semasa proses pengajaran
dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik. Majoriti murid terutamanya di luar
bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar.
Hampir 50% murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian tersebut juga
mendapati lebih 80% murid Melayu sukar memahami pelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris. Justerus, PPSMI dilihat telah memberi implikasi yang
negatif dalam pendidikan di Malaysia terutama bagi pelajar di luar bandar.
Oleh itu, kerajaan
memansuhkan PPSMI kerana dasar ini tidak dilaksanakan seperti yang dihasratkan.
PPSMI tidak berjaya mencapai matlamat penubuhannya untuk meningkatkan
pembangunan sumber manusia bagi mencapai taraf negara maju dan persiapan dari
peringkat awal persekolahan untuk bersaing tetapi hanya menjatuhkan prestasi
pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Pengajaran dalam bahasa
Inggeris walaupun untuk satu mata pelajaran sahaja pasti akan menggugat segala
usaha penterjemahan pembinaan istilah, penerbitan buku ilmu berbahasa Melayu,
dan sebagainya. Sekaligus ini merencatkan segala perancangan pembinaan, dan
pengembangan bahasa Melayu dalam jangka panjang. Ke manakah harus dicampakkan
hampir sejuta istilah Matematik dan Sains berbahasa Melayu yang ditulis oleh
pakar , pensyarah dan profesor selama ini. Implikasinya, murid terpaksa
mempelajari istilah-istilah baru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Ini
menyebabkan mereka tidak meminati pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris.
Justeru itu, kementerian
pelajaran telah mengambil langkah serius dengan melaksanakan dasar baru dengan
memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Dasar ini
menggantikan pelaksanaan PPSMI dalam sistem kurikulum sekolah. Berdasarkan
laporan akhbar Berita Harian bertarikh 10 November 2011, strategi pelaksanaan
dasar baru ini melalui proses berperingkat hingga murid Tahun satu menduduki
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada 2016,
manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
pada tahun 2021.
Selain itu, KPM melaksanakan
pelbagai langkah penambahbaikan termasuk aspek perguruan dan pengisian
kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan. Menurut strategi pelaksanaan KPM
terhadap MBMMBI, seramai 47,887 guru bahasa Inggeris sentiasa diberikan kursus
bagi memastikan kualiti pengajaran ditingkatkan. Di samping itu, latihan kepada
6000 guru di institut perguruan seluruh negara dan pengambilan secara kontrak
guru bersara yang kini 200 orang. Kementerian turut membawa masuk 360 ‘master teacher’ pakar bahasa Inggeris
daripada 10 negara termasuk United Kingdom, Kanada, Denmark dan Australia untuk
memerhati dan memberikan pandangan untuk menambah baik kualiti pengajaran dan
pembelajaran guru bahasa Inggeris serta pengambilan 50 tenaga pengajar dari
Amerika Syarikat bermula awal tahun 2012.
Kita harus mengambil contoh
teladan daripada negara lain, misalnya Filiphina dan India sejak kemerdekaan
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tetapi negara tersebut
mundur. Ia membuktikan bahawa bukan isu bahasa Inggeris yang menjadi persoalan
dalam pemangkin pembangunan, tetapi ia berkaitan dengan budaya berfikir dan
ilmu abagi masyarakatnya yang terbuka untuk belajar di Barat dan dalam masa
yang sama teguh dan kukuh dengan jati diri. Usaha KPM dalam MBMMBI
adalah langkah yang bijaksana meletakkan kedua-dua bahasa itu pada tempat yang
wajar. Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 152 mengkanunkan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dan Akta Pendidikan 1996 telah mensyaratkan bahasa Melayu
sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kita.
Antara langkah-langkah yang
telah diambil oleh kerajaan secara teliti dan terancang adalah menyediakan buku
teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan
jangka masa tertentu. Kerajaan perlu melantik semula panel penulis, penyediaan
isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Manakala, bagi
memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran
dan pembelajaran bahasa perlu diberi penambahbaikan. Oleh itu, kerajaan perlu
merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
Dalam hal ini, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat
penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan,
menarik dan bersifat menyeronokkan. Di samping itu juga, kerajaan boleh
mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi
masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru-guru ini akan didedahkan dengan
teknik pengajaran bahasa Inggeris yang terkini. Selain itu, penambahan
peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah, menengah, tingkatan
6 dan peringkat Matrikulasi. Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakkan
sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI.
Menurut laporan akhbar
November 2011, jika dilihat sejak 30 tahun lalu, perkembangan bahasa Melayu
dalam sistem pendidikan kita amat memberangsangkan. Statistik menunjukkan
dengan menggunakan bahasa ibunda, pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek
Sains dan Matematik amat memuaskan. Manakala pada tahun 2001, statistik
menunjukkan pencapaian subjek Fizik anak-anak bangsa Melayu melampaui peratusan
yang dicapai oleh pelajar bangsa lain. Ini jelas menunjukkan bahawa dengan
menggunakan bahasa ibunda, ia tidak menjadi halangan untuk anak-anak bangsa
kita menguasai subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
KESIMPULAN
Pemansuhan
PPSMI yang telah diumumkan pada tahun 2009, adalah satu langkah yang bijaksana
dalam meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya
dan bahasa ilmu. Perjuangan ini ada dinyatakan dalam isi kandungan laporan
Penyata Razak dan 1956 dan selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
dan semangat yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan bahasa
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Walaupun
ada juga yang memberi alasan bahawa mengutamakan bahasa Melayu menyebabkan
peluang mendapatkan pekerjaan adalah sukar. Jika kita sama-sama menjayakan
MBMMBI dengan baik, tidak akan timbul isu ini kerana para pelajar dapat
menguasai bahasa Melayu dengan baik secara tidak langsung dapat memperkukuhkan
lagi bahasa Inggeris. Ini sama seperti negara Korea Selatan, Jepun dan China
yang tetap menggunakan bahasa ibunda masing-masing walaupun ketika dalam proses
mengejar kemajuan. Oleh itu, langkah Malaysia kembali memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu adalah satu langkah yang cukup wajar. Malaysia boleh
maju tanpa terlupa jati diri dan asal usul. Nabi dan Rasul menyampaikan wahyu
Allah dan segala pengajaran melalui bahasa yang sama dengan umatnya, misalnya
peringatan dan pengajaran tenatang bahasa untuk penyampaian ilmu (surah Ibrahim : Ayat 4). Justeru itu, ilmu
akan lebih baik diungkapkan dan dipelajari melalui bahasa penutur aslinya.
Bukti tentang hal ini dapat dilihat, banyak negara yang mengagungkan bahasa
Inggeris tetapi masih mundur misalnya India dan Filiphina. Oleh yang demikian,
perkukuhkanlah penguasaan dan pengajaran
bahasa Inggeris, tetapi janganlah dengan cara mengorbankan hak dan
peranan bahasa Melayu baik di Malaysia mahupun di dunia ini.
Penulisan oleh : Maria binti Tationo
RUJUKAN
Ibrahim Saad. (1990), Perubahan Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007), Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi? Kuala
Lumpur, PTS Professional.
Noriati A. Rashid. (2012), Falsafah dan
Pendidikan Di Malaysia, Selangor, Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Norizan Abdul Razak. (2006), Isu-isu Pendidikan Bahasa Sastera dan
Psikologi di Malaysia, Selangor, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Robiah Sidin. (1998), Pemikiran dalam Pendidikan, Selangor, Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tie Fatt Hee. (2002), Undang-undang Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur, Fajar Bakti
Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment