Monday 27 August 2012

Sebat syarie didik pelajar...mampukah?




Hukuman antara cara terbaik atasi masalah disiplin di sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran digesa mempraktikkan hukuman sebat mengikut kaedah syarie jika ia dilihat langkah terbaik bagi mendidik pelajar mengikut hukum Islam. 
Selain itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata hukuman itu perlu dilakukan ibu bapa terhadap anak mereka di tempat tertutup di sekolah. 

Katanya, prinsip hukuman dalam Islam untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan khalayak supaya insaf, sekali gus memungkinkan hukuman itu menjadi alternatif terbaik mengatasi masalah disiplin pelajar.

“Ibu bapa perlu dipanggil ke sekolah untuk melakukan hukuman sebat terhadap anak mereka. Jika ibu bapa tidak mahu dan takut untuk melakukannya, hukuman berkenaan boleh dilakukan guru dengan ibu bapa bertindak sebagai saksi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pelaksanaan hukuman rotan di sekolah untuk mengatasi disiplin pelajar.

Terbaru, seorang eksekutif wanita dibelasah enam pelajar perempuan Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, di depan anaknya dan puluhan pelajar lain, kelmarin.
Mohammad berkata, masyarakat perlu diberi kefahaman secukupnya sebelum hukuman mengikut hukuman Islam itu dijalankan.

Sementara itu, pembaca Berita Harian Online meminta Kementerian Pelajaran mengembalikan kuasa guru merotan dalam usaha mendidik pelajar menjadi lebih disiplin, berikutan banyak kes keganasan berlaku sekarang sehingga menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Tindakan itu perlu dilakukan segera kerana kegagalan membendung masalah disiplin pelajar menyebabkan budaya samseng dan buli di kalangan mereka semakin berkembang yang akhirnya mewujudkan suasana tidak selamat ketika di sekolah.

Mereka berkata, keadaan sekarang berbeza kerana kebanyakan ibu bapa tidak boleh menerima tindakan guru seperti itu, sehingga menyebabkan perlakuan anak mereka yang melanggar disiplin semakin tidak terkawal. 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sebatsyariedidikpelajar/Article

Apa pendapat anda?...sila kongsikannya di sini...

No comments:

Post a Comment